
Katanya, Kementerian Sumber Manusia juga telah memeterai perjanjian dengan Bangladesh dan Indonesia untuk membawa masuk pekerja warganegara mereka ke Malaysia.
Namun, Fadillah menjelaskan buat masa ini kerajaan masih menunggu pekerja yang berminat untuk mengisi peluang tersebut.
“Walaupun dah dapat kelulusan tapi (setakat ini) tiada orang yang nak masuk (bekerja). Mungkin di Indonesia dah ada banyak (peluang) pekerjaan baharu kerana mereka banyak program yang nak dibuat.
“Jadi itu sebab kita tidak pasti sekarang (sebab mengapa mereka tidak mahu datang). Cabaran sekarang adalah untuk kita dapatkan pekerja (bagi sektor pembinaan),” katanya kepada pemberita yang menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di Lapangan Terbang Bintulu di sini, hari ini.
Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula semalam hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.
Sementara itu, mengulas mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata, pihaknya akan memperbaiki sistem keselamatan di lebuh raya itu susulan teguran daripada pemimpin setempat.
“Ada teguran daripada wakil rakyat dan pemimpin setempat mengenai papan tanda arah, amaran dan lampu pemantul pada waktu malam yang tidak begitu jelas. Itu perlu diperbaiki untuk pastikan pemandu tahu di mana ada persimpangan atau ‘diversion’.
“Terdapat juga besi penghadang yang telah dipasang tetapi ada sebahagiannya telah jatuh, Mungkin ada mereka yang membuat vandalisme,” tambahnya.