‘Kalau masuk BN mana presiden PBM nak tanding’, soal Ahmad Maslan

‘Kalau masuk BN mana presiden PBM nak tanding’, soal Ahmad Maslan

Setiausaha agung Umno menjelaskan Barisan Nasional telah menyatakan kesepakatan untuk tidak bertanding di Sarawak pada PRU15.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Barisan Nasional untuk membuat keputusan berhubung kemasukan PBM ke dalam gabungan itu.
PETALING JAYA:
Penyertaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam Barisan Nasional (BN) boleh mengundang masalah terutama berhubung isu kerusi Parlimen yang bakal ditandingi presiden parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ini kerana Presiden PBM, Larry Sng adalah ahli Parlimen dari Sarawak tetapi BN telah menyatakan kesepakatan untuk tidak bertanding sebarang kerusi Parlimen di negeri itu.

Namun, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan.

“Sebarang keputusan untuk menjadi ahli gabungan BN perlu diputuskan secara konsensus melibatkan parti komponen utama, iaitu Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Tapi di mana Larry hendak bertanding? Kalau di Sarawak BN sudah membuat ketetapan untuk tidak bertanding,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Justeru, Ahmad memberitahu bahawa perkara itu perlu difikirkan BN sebelum sebarang keputusan dibuat.

Khamis lalu, Larry yang juga ahli Parlimen Julau dilaporkan berkata, permohonan PBM untuk menyertai BN masih dalam proses.

Larry berkata, PBM memberi mandat kepada Zuraida Kamaruddin (sebagai presiden pengganti) untuk mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, terutama berhubung perbincangan untuk membentuk kerjasama politik yang sudah pasti akan mengambil sedikit masa.

Awal bulan ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan BN belum menerima surat permohonan PBM untuk menyertai gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.