
Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, kenyataan Wee mengatakan pihaknya membuat “tuduhan liar” disifatkan tidak sopan, sedangkan beliau seharusnya mengenal pasti punca mengapa dakwaan itu timbul.
“Menteri pengangkutan harus bijak menangani masalah, bukannya melatah sehingga menganggap kesatuan sekerja sebagai musuh, malah beliau sewajarnya mendengar keluhan kami.
“Dua masalah utama telah dikenal pasti, maka sewajarnya YB menteri memaklumkan kepada wartawan tentang penyelesaiannya, bukannya dengan menuduh kami seperti parti politik lain yang kononnya membuat tuduhan liar,” katanya kepada FMT.
Mengenai pembelian 10 set Electric Train Service (ETS) dari China menerusi rundingan terus, Razak berkata, daripada sudut proses jual-beli itu, Wee sebagai menteri pengangkutan seharusnya mencari jalan untuk meyakinkan pihak kesatuan dan juga rakyat.
Katanya, walaupun diselia oleh sebuah jawatankuasa dalam melaksanakan prosesnya namun berdasarkan persepsi rundingan terus ia masih dilihat sebagai meragukan.
“YB menteri (Wee Ka Siong) boleh menonjolkan integriti yang membersihkan kementerian dengan melaksanakan semua proses berdasarkan ketelusan dan memberhentikan segala keraguan yang timbul,” katanya dengan menegaskan bahawa tender terbuka lebih berintegriti.
Semalam, Wee membidas kesatuan pekerja berkenaan yang mendakwa perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak berkualiti kerana set gerabak itu dibeli oleh kementerian secara rundingan terus.
Terdahulu, Razak berkata, kementerian mengganggu operasi KTMB dengan mendakwa set gerabak dibeli menerusi rundingan terus tidak berkualiti.
Selain itu katanya, kementerian juga tidak bersikap telus mengenai projek melibatkan perkhidmatan kereta api dan usaha KTMB untuk menambah baik kemudahan kereta api, termasuk Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).