Bon Odori: PAS Selangor gesa kerajaan halang umat Islam hadir jika libat unsur agama

Bon Odori: PAS Selangor gesa kerajaan halang umat Islam hadir jika libat unsur agama

Pesuruhjaya PAS Selangor berkata ia berdasarkan pandangan institusi dan cendekiawan Islam di mana Festival Bon Odori juga menyentuh soal akidah umat Islam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menasihati umat Islam supaya tidak menyertai Bon Odori susulan hasil kajian Jakim mendapati festival itu ada unsur keagamaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS Selangor menggesa kerajaan negeri menghalang penglibatan orang Islam menyertai Festival Bon Odori jika ia melibatkan unsur agama lain.

Pesuruhjayanya, Ahmad Yunus Hairi, berkata kerajaan negeri juga perlu bertindak terhadap majikan yang mewajibkan pekerja muslim terlibat dengan sambutan festival itu.

“Kerajaan negeri perlu bertegas sebagai pihak berautoriti berkaitan penglibatan masyarakat Islam. Ini tidak bermakna kita menghalang mereka untuk menyambut tetapi penglibatan umat Islam harus dihalang,” katanya kepada FMT.

Katanya, halangan itu perlu dibuat berdasarkan pandangan institusi dan cendekiawan Islam yang menyatakan sambutan Bon Odori juga menyentuh akidah umat Islam.

“Mufti Pulau Pinang telah mengeluarkan kenyataan bahawa umat Islam tidak patut menyertai acara itu bagi memelihara kesucian pegangan agama.

“Acara ini mengingati roh atau semangat nenek moyang yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program itu mempunyai unsur agama lain dan orang Islam dinasihatkan tidak menyertai program terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menasihati umat Islam supaya tidak menyertai Bon Odori susulan hasil kajian Jakim mendapati festival itu ada unsur keagamaan.

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun yang akan diadakan di negeri itu dan meminta Idris turun padang melihat sendiri festival berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata apa dibangkitkan beberapa pemimpin PAS termasuk Idris sebagai menasihati selepas mengambil kira pandangan institusi dan cendekiawan supaya ia tidak disertai orang Islam memandangkan Bon Odori dikatakan mempunyai unsur agama.

“Kenyataan Idris adalah menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai, beliau tidak sebut batalkan. Sama ada terima atau tidak (nasihat) terpulang kepada individu, kita bukan memaksa.

“Semua kena faham PAS tidak halang mengamalkan budaya dan agama mereka termasuk festival Bon Odori. PAS sangat menghormati hak bangsa lain untuk mengamalkan budaya dan agama mereka,” katanya meminta semua pihak tidak memanipulasi nasihat pemimpin PAS sehingga mengeruhkan keadaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.