
Mior Rosli Mior Jaafar berkata, mereka yang dipecat atau diberhentikan secara tidak hormat, layak dipertimbangkan untuk mendapat pencen dan faedah lain.
Katanya, Akta Veteran menetapkan bahawa mereka yang dipecat tidak diiktiraf sebagai veteran.
Menurutnya, ini bermakna mereka dan keluarga tidak layak untuk menerima faedah tertentu termasuk rawatan perubatan secara percuma.
“Ia seolah-olah mereka dijatuhkan hukuman mati,” katanya dalam temu bual di televisyen.
Mior mendedahkan, dia pernah didekati oleh bekas tentera yang mahu membunuh diri kerana tidak sanggup melalui kesukaran hidup selepas dinafikan faedah itu.
Katanya, ada juga bekas tentera yang dipecat secara tidak adil daripada perkhidmatan dengan merujuk kepada bekas juruterbang tentera udara Zaidi Ahmad yang dipecat kerana melanggar protokol selepas bercakap kepada media mengenai penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Mior berkata, walaupun Zaidi melakukan kesilapan, tetapi hukuman itu tidak adil.
“Adakah kita melupakan perkhidmatannya selama 24 tahun sebagai juruterbang tentera udara?”
Mior berkata, kira-kira 25,000 anggota tentera telah dipecat dan mereka yang ditemuinya antaranya dipecat kerana tidur pada waktu bertugas, tidak hadir atau melakukan kesalahan berkaitan dadah.
Walaupun tidak mempertikaikan tindakan yang diambil, Mior berkata, bekas tentera perlu diberikan pengampunan selepas lima tahun dan diiktiraf sebagai pesara.
Katanya, ramai yang terpaksa menanggung kesusahan sebagai orang awam dan itu sudah cukup menghukum mereka.