
Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Haniff Md Sultan berkata, surat hasil mesyuarat berserta persetujuan bersama itu sudah diserahkan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk disampaikan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).
“ECRL dan penduduk buat keputusan lama dah, beberapa bulan sebelum ni. Kita dah serahkan surat kepada MOT melalui Tengku Zafrul ketika beliau datang minggu lepas.
“Kami minta tolong menteri kewangan berkaitan pembinaan ECRL dan tolong sampaikan surat itu kepada MOT,” katanya kepada FMT.
Pada 8 Julai lalu, Pengerusi Persatuan Penduduk Elmina Gardens, Denai Alam, William Ho, mempersoalkan keperluan pembinaan itu dengan berkata, stesen ECRL bagus untuk pembangunan di Puncak Alam tetapi laluan berkenaan tidak berguna kepada penduduk.
Katanya, stesen ECRL Puncak Alam mungkin kurang digunakan dan akan menjadi projek “gajah putih” serta lebih merupakan langkah politik untuk memenangi hati pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Haniff berkata, kawasan Denai Alam berada di luar daerah Kuala Selangor dan beliau hanya menyampaikan kehendak masyarakat kawasan berkenaan yang inginkan stesen ECRL dibina.
Katanya, pembinaan itu dilihat akan memberi kesan positif terhadap ekonomi lebih 100,000 penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya difahamkan ECRL ada kargo dan penumpang, dan fasa pertama akan buat…kawasan Puncak Alam ada banyak kilang, di Alam Jaya ada lot kedai. Saya rasa tak ada masalah, kemudahan ini akan kembangkan ekonomi di Puncak Alam, beri impak ekonomi di Kuala Selangor,” katanya.
Pada 6 Jun lalu, Tengku Zafrul mengumumkan kerajaan meluluskan pembinaan stesen ECRL di Puncak Alam.