Warisan belum ‘hilang taring’, masih pembangkang terkuat di Sabah, kata penganalisis

Warisan belum ‘hilang taring’, masih pembangkang terkuat di Sabah, kata penganalisis

Kebanyakan wakil rakyat yang meninggalkan parti itu sebelum ini adalah pemimpin yang 'senyap' sekali gus ketiadaan mereka dalam Warisan kurang dirasai.

Penganalisis berkata, tidak mustahil akan ada lagi pemimpin Warisan yang meninggalkan parti itu, tetapi pada masa sama pemimpin parti lain juga berkemungkinan menyertainya.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat, tindakan wakil rakyat Warisan yang seorang demi seorang meninggalkan parti itu bukanlah bermakna mereka telah ‘hilang taring’ kerana ia masih pembangkang paling kuat di Sabah.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kebanyakan wakil rakyat yang meninggalkan parti itu sebelum ini adalah pemimpin yang “senyap”, sekali gus ketiadaan mereka dalam Warisan kurang dirasai.

“Walaupun keseluruhannya Warisan sudah kehilangan enam ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), tapi mereka ada dua ADUN baharu daripada DAP. Warisan masih pembangkang paling kuat dengan 18 ADUN.

“Keternampakan atau ‘visibility’ seseorang pemimpin mahupun parti adalah berdasarkan kepetahan serta keterlibatan dalam wacana awam yang membincangkan isu berkepentingan awam,” katanya kepada FMT.

Menurut beliau, yang dirasai hanya pemergian Peter Anthony (ADUN Melalap) kerana boleh dikategorikan sebagai figura Warisan, sebaliknya beliau menyifatkan “sebahagian daripada ADUN yang meninggalkan Warisan selama ini sunyi sepi sahaja.”

Lee berkata, tidak mustahil akan ada lagi pemimpin Warisan yang meninggalkan parti itu, tetapi pada masa sama juga berkemungkinan pemimpin parti lain menyertai Warisan.

“Banyak kemungkinan dalam politik, ‘politics is fluid’. Apa yang perlu dilakukan Warisan ketika ini ialah fokus kepada PRU15…fokus Sabah sahaja,” katanya.

Terdahulu pada Ahad, ADUN Kukusan Rina Jainal menjadi wakil rakyat terbaharu meninggalkan Warisan untuk menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang mesra dengan kerajaan GRS.

Sebelum ini, lima ADUN telah keluar Warisan iaitu ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir, Yusof Yacob (Sipitang), Mohamaddin Ketapi (Segama), Peter Anthony (Melalap) dan Juil Nuatim (Limbahau).

Dalam pada itu, Lee turut berpendapat tindakan Presiden Warisan Shafie Apdal yang menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah bagi menarik sokongan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.

Bagaimanapun, Presiden PBS Maximus Ongkili dalam kenyataannya pada Selasa berkata, parti itu menghargai tawaran Warisan berkenaan namun menegaskan akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berfikiran sebaliknya apabila berpendapat Warisan sudah “hilang taring” selepas seorang demi seorang pemimpinnya meninggalkan parti, yang dianggapnya membayangkan kehilangan sokongan rakyat malah wakil rakyat parti itu sendiri.

“Memang sudah biasa apabila parti tidak bersama kerajaan sukar untuk bertahan, kelebihan yang ada sebelum ini sudah tiada dan ini bermakna Warisan sudah kehilangan taring apabila bukan lagi sebahagian daripada kerajaan pemerintah,” katanya.

Menurutnya, tindakan Shafie yang menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama politik dengan PBS juga dilihat bagi menghidupkan semula sokongan parti itu yang semakin rapuh.

“Warisan juga perlu menunjukkan peningkatan ahli semakin bertambah dengan penyertaan pemimpin dari parti lain yang mahu sertai Warisan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.