
Lebih membimbangkan, kerakusan mencuri hasil laut menggunakan kaedah tunda ganding bukan sahaja memusnahkan ekosistem marin, malah turut menjejaskan sumber rezeki nelayan tempatan berikutan habitat marin dikatakan semakin berkurangan.
Suffi berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas termasuk menenggelamkan bot rampasan untuk dijadikan tukun tiruan dalam menangani isu pencerobohan nelayan berkenaan.
Katanya, bermula 2010 sehingga kini, pihaknya sudah melupuskan sebanyak 142 bot nelayan Vietnam dengan nilai anggaran sebanyak RM213 juta.
Menurutnya, proses pelupusan semua bot rampasan yang sudah dilucuthak oleh mahkamah itu dilakukan dengan menenggelamkan bot terbabit untuk dijadikan tukun tiruan.
“Tindakan melupuskan bot adalah bukti APMM komited dalam menguatkuasakan undang-undang perairan negara terutama isu membabitkan pencerobohan nelayan Vietnam.
“Akibat pencerobohan ini, kita menganggarkan sebanyak RM6 bilion hasil laut di perairan negeri ini dicuri nelayan Vietnam setiap tahun,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, tiga bot nelayan Vietnam dilupuskan di perairan Pulau Kapan untuk dijadikan tukun tiruan, hari ini.
Suffi berkata, tiga bot itu dirampas KM Gemia dan KM Nusa menerusi Ops Naga Barat serta Ops Kuda Laut, tahun lalu, ditenggelamkan di lokasi 1.3 batu nautika dari Pulau Kapas atau 4.7 batu nautika dari muara Marang.
Katanya, semua awak-awak bot terbabit membabitkan seramai 43 orang sudah dihukum penjara selama tujuh bulan.
“Lokasi pelupusan bot yang tidak jauh dari tanah besar itu secara tidak langsung dapat membantu menambah pendapatan nelayan pantai, sekali gus memulihkan ekonomi mereka yang sepenuhnya mengharapkan rezeki hasil laut,” katanya.