
Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd Abdul Razak Md Hassan berkata, kementerian itu mengganggu operasi KTMB.
Beliau mendakwa set gerabak kereta api yang dibeli oleh kementerian melalui rundingan terus adalah tidak berkualiti.
“Tren ini menyusahkan KTMB kerana ia memerlukan penyelenggaraan yang kerap dan mempunyai jangka hayat yang lebih pendek,” katanya.
Beliau juga berkata, kementerian tidak bersikap telus mengenai projek melibatkan perkhidmatan kereta api dan usaha KTMB untuk menambah baik kemudahan kereta api.
Minggu lalu, Razak mempertahankan ketua pegawai eksekutif (CEO) KTMB daripada kritikan yang dilemparkan terhadapnya di media sosial.
Warganet berkata, kesesakan yang berlaku di Lembah Klang kerana orang ramai enggan menggunakan pengangkutan awam seperti KTM berikutan perkhidmatan yang tidak berkualiti.
Razak berkata, ia adalah salah kementerian, yang menurutnya kelihatan sengaja melengahkan projek berkaitan KTMB. Salah satunya ialah Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).
“Kelewatan projek KDVT2 bermakna tren tidak boleh beroperasi secara kerap dan ini menyusahkan penumpang,” katanya.
Katanya, “tidak mungkin” projek itu siap menjelang 2026 seperti dijanjikan oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada Oktober.
Projek terbabit menjadi pertikaian undang-undang selepas pentadbiran Muhyiddin Yassin membatalkan kontrak syarikat kontraktor.
Pertikaian timbul selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.6 bilion yang didakwanya diberikan melalui rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), termasuk KVDT2 yang bernilai RM4.5 bilion.