
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata demikian susulan laporan bahawa siasatan Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS memperoleh bukti berhubung dakwaan amalan buruh paksa daripada sumber pihak ketiga.
Katanya, walaupun Malaysia tidak sepenuhnya bersetuju dengan tindakan CBP, namun agensi berkenaan mempunyai hak prerogatif untuk mengambil tindakan berdasarkan keadaan yang dianggap sebagai maklumat yang diperolehinya.
“Namun begitu, CBP dalam memperincikan laluan yang diambil dan tindakan seterusnya terhadap beberapa syarikat menyatakan bahawa siasatannya dilakukan berdasarkan maklumat, analisis dan andaian yang munasabah.
“Pemain industri Malaysia terutama dalam sektor perladangan dan sarung getah yang intensif buruh perlu mengambil kira sensitiviti CBP dan mencari pelan tindakan supaya tidak dikenakan perintah penahanan pelepasan (WRO) sekali lagi dengan tuduhan buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.
Zuraida berkata, minyak sawit Malaysia dan produk berkaitan minyak sawit mungkin terpaksa bersaing secara langsung dengan minyak kacang soya, dengan AS merupakan pengeluar utamanya di dunia dan pengeksport kedua tertinggi.
Minggu lepas, pegawai CBP berkata, siasatannya amat bergantung kepada audit pihak ketiga yang bebas.
Mereka berkata, pihak CBP telah mengesahkan audit berkenaan dengan pelbagai cara, namun tidak mengulas lanjut.