
“Agarwood Originals Malaysia Bhd tidak terlibat sama sekali dalam projek gaharu di Thailand,” kata syarikat tersebut dalam kenyataan susulan laporan media mengenai kes itu.
Projek tersebut dilancarkan oleh sebuah syarikat di Singapura, katanya.
Tambahnya, perjanjian jual beli dimeterai antara syarikat dan individu terbabit secara langsung dan sebarang pertikaian adalah urusan kontrak di antara kedua-dua pihak tersebut semata-mata.
Agarwood Originals Malaysia Bhd berkata, pihaknya telah disalah kenal sebagai terlibat kerana disebut dalam beberapa tindakan yang difailkan di mahkamah.
“Kami sedang bersungguh-sungguh membersihkan nama kami daripada dakwaan semberono ini, mengakibatkan beberapa tindakan (mahkamah) tersebut dibatal atau ditangguhkan, berdasarkan klausa timbang tara mandatori dalam perjanjian jual beli yang dimeterai antara mereka dan syarikat Singapura tersebut,” katanya.
“Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil semua tindakan undang-undang yang perlu bagi menjaga kepentingan dan reputasi kami selaku peneraju pasaran yang dihormati dalam pengurusan perladangan.”
Pada 5 Jun, sekumpulan 200 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan membabitkan penanaman gaharu di Thailand mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur dan mendesak polis menyegerakan siasatan berhubung kes itu.
Mac lalu, dilaporkan kesemua mangsa mengalami kerugian keseluruhan lebih RM22.6 juta selepas melabur dalam projek penanaman gaharu yang dikendalikan syarikat tempatan sejak beberapa tahun lalu.
Sekumpulan 60 hingga 70 mangsa membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit pada 2020, namun kes berkenaan diklasifikasikan oleh polis sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Bagaimanapun, pada Mac tahun ini, mahkamah memerintahkan polis membuka semula kes siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.