Ratusan rakyat Malaysia masih ditahan di Myanmar, kata mangsa pemerdagangan orang

Ratusan rakyat Malaysia masih ditahan di Myanmar, kata mangsa pemerdagangan orang

Mereka ditahan di sebuah "perkampungan kecil" di Myawaddy, Myanmar selepas ditipu sindiket yang memaksa mereka bekerja sebagai 'scammer'.

Mangsa yang dikenali sebagai Cheah, 19, berkata, dia ditipu untuk bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke di Thailand selepas terjumpa iklan jawatan di Facebook, Mac lalu.
KUALA LUMPUR:
Seorang mangsa pemerdagangan orang yang diseludup ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai “scammer” mendakwa ratusan rakyat Malaysia masih ditahan di sebuah “perkampungan kecil” di Myawaddy di negara itu.

Mangsa yang dikenali sebagai Cheah, 19, berkata, dia ditipu untuk bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke di Thailand selepas terjumpa iklan jawatan itu di Facebook, Mac lalu.

Selepas menghubungi iklan itu, sindiket itu mengambilnya di kampung halaman di Melaka dan membawanya ke sempadan Thai-Myanmar, iaitu Mae Sot, menggunakan laluan haram sebelum meneruskan perjalanan ke Myawaddy.

https://youtu.be/hxrL1Jy-bjs

Cheah mendakwa dia terkejut apabila menemui ratusan mangsa warga Malaysia di sana yang ditahan di sebuah bangunan empat tingkat.

“Mereka dipantau oleh ahli sindiket yang juga rakyat Malaysia. Penyelia itu dikenali sebagai ‘motivator’ yang memberi tunjuk ajar kepada kami bagaimana untuk menipu orang di seluruh dunia,” katanya pada sidang media di Wisma MCA.

Menurutnya lagi, dia dipaksa terlibat dalam sindiket ‘Love Scam’ dengan sasarannya adalah orang Cina yang tinggal di Amerika Syarikat, Singapura dan Taiwan.

“Saya hanya bekerja selama tiga hari. Selepas itu, mereka memukul saya dengan kayu besbol setiap hari kerana saya enggan bekerja,” katanya.

Pada April lalu, dia terlibat dalam pergaduhan dengan anggota sindiket sebelum ditolak jatuh dari tingkat tiga bangunan, mengakibatkan kaki dan rusuknya patah.

Sindiket itu bagaimanapun kasihan melihat keadaannya lalu menghantar ke hospital di mana dia dimasukkan ke wad selama dua minggu.

“Selepas saya keluar dari wad, sindiket itu berkata, mereka sanggup membebaskan saya tetapi mereka meminta wang tebusan RM120,000. Selepas berunding dengan keluarga saya, mereka bersetuju menerima RM70,000.

“Keluarga saya berjaya mengumpul dana untuk membawa saya pulang,” kata Cheah yang pulang ke rumah bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Michael Chong berkata, beliau dimaklumkan oleh kedutaan Malaysia di Kemboja pagi ini bahawa lapan lagi mangsa pemerdagangan manusia telah diselamatkan.

“Pegawai kedutaan kami pergi ke pusat tahanan pagi ini untuk bertemu mereka. Saya berharap mereka akan pulang ke rumah tidak lama lagi.

“Saya dimaklumkan tujuh daripada mangsa dipukul ketika ditahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.