
Pengerusi persatuan penduduk Elmina Gardens William Ho berkata, stesen ECRL bagus untuk pembangunan di Puncak Alam tetapi laluan itu tidak berguna kepada penduduk.
“Laluan MRT yang menghubungkan Lembah Klang akan lebih bermanfaat berbanding stesen ECRL.
“Berapa kerap orang ramai akan pulang ke kampung halaman? Kebanyakannya bekerja di Lembah Klang,” katanya selain menambah bahawa rangkaian kereta api hanya akan menjadi jambatan antara Pantai Timur dengan Pantai Barat.
Ho berkata, stesen ECRL Puncak Alam mungkin kurang digunakan dan akan menjadi projek “gajah putih”.
“Ia lebih merupakan langkah politik untuk memenangi hati (pengundi),” katanya kepada FMT.
Ho berkata, menghubungkan kawasan perbandaran dengan sistem pengangkutan awam yang betul harus menjadi keutamaan kerajaan.
Sementara itu, pakar pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, pembinaan stesen ECRL di Puncak Alam akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, tetapi beliau mencadangkan bahawa jajaran selatan lebih praktikal.
“Laluan utara tidak akan berguna untuk lalu lintas ke arah selatan yang masih perlu memintas KL Sentral. Jadi kesesakan rel di KL Sentral tidak akan selesai dalam jangka panjang,” katanya.
Rosli juga berharap stesen itu boleh diakses oleh mod pengangkutan lain.
Wujud spekulasi bahawa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor atas tiket Umno selepas beliau mengumumkan pada 6 Jun bahawa kerajaan meluluskan pembinaan stesen ECRL di Puncak Alam serta hasratnya untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan.
Pemerhati menyifatkan perkembangan itu sebagai “petunjuk jelas” bahawa Tengku Zafrul akan bertanding di kerusi Parlimen yang kini dipegang oleh Dzulkefly Ahmad daripada Amanah.