
Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, LIMA ‘23 diadakan susulan kejayaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 pada Mac lalu serta kebersediaan Malaysia selepas memasuki fasa peralihan endemik.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 600 pempamer dari 20 negara akan menyertai LIMA ’23 selain dijangka menerima 45,000 pelawat perdagangan dan 380 tetamu luar negara.
Menurutnya, pameran LIMA ‘23 akan melibatkan aset udara dan aset maritim dengan masing-masing sebanyak 110 aset.
“Jumlah pempamer, negara yang terlibat, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset dijangka meningkat seterusnya menjadikannya penyertaan terbesar pernah direkodkan,’’ katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Pameran LIMA ‘23 di Auditorium Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong; Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Hishammuddin berkata, bagi memastikan kelancaran LIMA ’23, penganjurannya diselaraskan bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan manakala syarikat Alpine Integrated Solution Sdn Bhd dilantik sebagai penganjur bersama pameran yang diadakan dua tahun sekali itu.
Menjelas lanjut beliau berkata, pameran LIMA ‘23 merupakan medan terbaik bagi syarikat industri pertahanan seluruh dunia khususnya berkaitan aeroangkasa dan maritim untuk kembali bersemuka selepas lama tidak berpeluang melakukannya akibat Covid-19 dan penangguhan LIMA ‘21.
“Ini secara langsung dapat membuka lebih peluang dalam usaha menghubung dan mempromosikan kerjasama strategik antara syarikat industri pertahanan tempatan dengan antarabangsa selari dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara yang sedang dirangka ketika ini,” katanya.
Hishammuddin berkata, beberapa pembaharuan bakal disaksikan pada LIMA ‘23, antaranya pengenalan segmen pertunjukan dron dan perlumbaan dron, segmen teknologi angkasa, forum ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan, program untuk remaja termasuk berkaitan pendidikan dan kerjaya, pertandingan permainan elektronik (e-sukan) serta segmen wanita dalam pertahanan.
“Ini tidak termasuk segmen keselamatan siber dalam industri penerbangan serta maritim dan semestinya pameran aset serta pertunjukan udara yang terbaik dalam sejarah.
“Saya bersama Wee akan memastikan setiap aspek persiapan diteliti dan diperincikan sebaik mungkin agar impaknya dapat dirasai semasa hari penganjuran sebenar nanti,’’ katanya.