Op Kesan Perkeso: 8,843 majikan baharu telah mendaftar

Op Kesan Perkeso: 8,843 majikan baharu telah mendaftar

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14% sepanjang tempoh pemutihan berbanding 7,709 majikan baharu mendaftar pada April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mengikut akta, majikan wajib mendaftar walaupun memiliki seorang pekerja tanpa mengira had gaji. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seramai 8,843 majikan baharu tampil membuat pendaftaran sepanjang tempoh pemutihan selama sebulan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berakhir pada 31 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia merupakan peningkatan memberangsangkan iaitu lebih 14% berbanding 7,709 majikan baharu yang mendaftar pada April 2022.

“Saya meminta semua majikan yang masih belum mendaftar agar tampil kerana kami masih menerima pendaftaran di pejabat Perkeso di seluruh negara dan tindakan tidak akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas Op Kesan di sekitar Sesyen 15 di sini hari ini.

Terdahulu Mohammed Azman melancarkan Op Kesan Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Beliau berkata, berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa mengira had gaji, wajib mendaftar dengan agensi tersebut.

Katanya, pihak majikan tidak sepatutnya melihat kewajipan itu sebagai bebanan kerana kadar caruman yang dikenakan hanya 1.75% kepada majikan dan 0.5% kepada pekerja.

“Jangan lihat ini sebagai satu bebanan, jika berlaku apa-apa kepada pekerja siapa yang hendak tanggung kehidupan dan keluarga mereka.

“Kalau ada caruman dengan Perkeso, insya Allah dari segi perubatan, pemulihan, hilang upaya dan berlaku kematian, keluarga mereka akan terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat 11 pagi tadi sebanyak 1,258 majikan telah diperiksa di seluruh negara menerusi Op Kesan dan 220 kompaun telah dikeluarkan kerana tidak berdaftar dengan Perkeso.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.