
Sidek Hassan, yang merupakan ketua setiausaha negara bermula Sept 2006 hingga Jun 2012, berkata demikian ketika diperiksa oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram, mengenai “tanggapannya” yang menyatakan 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada Barisan Nasional (BN).
“Dalam satu perbincangan Kabinet, perkara berkaitan dana 1MDB dikemukakan. Menteri digalak mencadangkan bagaimana dana itu boleh digunakanuntuk membiayai projek di kawasan mereka,” kata Sidek.
Sri Ram kemudian menyoal saksi itu, mengenai hubung kait 1MDB dengan menteri.
“Sebab semua menteri ketika itu ahli BN,” kata Sidek.
Semalam, Sidek memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan pemahamannya, 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada parti kerajaan, BN, dan beliau tidak pernah bertanya kepada Najib berhubung masalah syarikat berkenaan.
Sri Ram kemudian menyoal Sidek, sekiranya Kabinet perlu fokus kepada tanggungjawab membuat polisi berbanding membincangkan mengenai parti politik dalam mesyuarat mingguan.
Sidek menjawab: “Kita sukar untuk membezakan antara keduanya (membuat dasar dan parti politik).
“Polisi kerajaan adalah polisi parti pemerintah atau datang daripada parti atau parti gabungan, sama ada BN atau apa sahaja namanya.”
Ketika disoal oleh peguam Najib, Shafee Abdullah, mengenai pembentangan kertas Kabinet untuk meluluskan jaminan RM5 bilion kepada Terengganu Investment Authority (TIA), Sidek berkata, tiada seorang menteri membantah perkara itu ketika Najib membentangkan kertas berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada 1 Apr 2009.
Beliau bersetuju dengan Shafee bahawa Najib ada membuat kenyataan dalam mesyuarat itu, degan mengingatkan Kabinet berhubung kesan kewangan jaminan RM5 bilion itu.
Shafee: Ketika perdana menteri (Najib) memberi taklimat mengenai TIA, ia dilakukan atas kapasiti rasminya sebagai menteri kewangan dan tidak ada kecenderungan kepentingan peribadi?
Sidek: Betul.
Shafee kemudian menyoal berhubung pelantikan Sidek sebagai ahli Lembaga Penasihat 1MDB.
Sidek berkata, Najib menganggap gaji yang diterimanya sebagai ketua setiausaha negara agak kecil, selain menyatakan bahawa “perdana menteri fikir saya perlu diberi balasan setimpal”.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan dalam akaun AmBank peribadi, antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.