Wanita dibunuh di Kuala Kangsar, 4 lagi ditahan

Wanita dibunuh di Kuala Kangsar, 4 lagi ditahan

Teman lelaki mangsa sebelum ini ditahan polis pada Sabtu lalu.

Ketua polis Perak Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan tangkapan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan dalam pembunuhan kejam seorang wanita, yang mayat rentungnya ditemui di tebing Sungai Kuala Kangsar berhampiran Kampung Talang Hulu, Perak, pada 31 Mei lalu.

Polis sebelum ini menahan lelaki berusia 21 tahun yang juga kekasih mangsa pada Sabtu.

Ketua polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan tangkapan itu.

“Setakat ini kami telah menahan lima individu, termasuk suspek pertama,” katanya kepada FMT, tanpa memberikan butiran lanjut.

Gambar dan video TikTok wanita itu tersebar di media sosial dengan spekulasi mengatakan motif pembunuhan itu adalah akibat cemburu.

Desas-desus turut mengatakan mangsa dirogol beramai-ramai, namun Mior menegaskan beliau “tidak menerima maklumat seperti itu”.

Menurut laporan berita sebelum ini, punca kematian dipercayai akibat hentakan di kepala dan mangsa turut dibakar. Mayatnya ditemui seorang penduduk Kampung Talang Hulu.

Seketul konkrit dengan kesan darah turut ditemui berhampiran mayatnya, dipercayai digunakan untuk membunuh wanita itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.