
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menyifatkan janji Zafrul berhubung kelulusan pembinaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam serta menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ Kementerian Kewangan, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana menteri sebelum ini.
“Tidak pernah dilakukan oleh mana-mana menteri dalam sejarah lebih 60 tahun kerajaan Perikatan dan BN. Ternyata beliau sangat ‘desperado’,” katanya dalam kenyataan.
Pada 1 Jun lalu, Dzulkefly berkata, beliau sedia mempertaruhkan dirinya sekali lagi sekiranya Amanah memerlukan beliau berdepan “calon penting” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), meskipun beliau menetapkan hasrat untuk berundur.
Beliau menepis dakwaan bahawa beliau berundur kerana takut untuk berdepan dengan sosok seperti Zafrul, yang menurut spekulasi akan diletakkan bertanding di kawasan Parlimen itu yang kini diwakilinya.
Pada 5 Jun lalu, Zafrul mengumumkan kelulusan bagi pembinaan stesen ECRL di Puncak Alam.
Pada masa yang sama, beliau mengumumkan bahawa Kuala Selangor dijadikan sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan bagi merealisasikan kemajuan daerah itu.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, tanggapan bahawa Zafrul amat cenderung dengan budaya ‘cash is king’ juga menimbulkan rasa khuatir dan kemungkinan terdedah kepada “moral hazard” amalan itu sedangkan negara bercita-cita mahu membanteras amalan salah guna kuasa dan rasuah.
“Saya optimis rakyat dan pengundi Kuala Selangor tidak akan mudah-mudah digula-gulakan dengan sogokan politik dan membeli sokongan politik seperti itu,” katanya.