Peningkatan kes jenayah seksual, Kelantan tingkatkan penguatkuasaan, tidak pilih bulu

Peningkatan kes jenayah seksual, Kelantan tingkatkan penguatkuasaan, tidak pilih bulu

Penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan terhadap golongan sasaran tanpa memilih kumpulan tertentu untuk dikenakan hukuman.

Exco Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara program yang telah dan sedang dijalankan kerajaan negeri ialah pembinaan sahsiah diri dan keluarga serta kursus kenegaraan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Kelantan akan terus mempergiatkan pelbagai jenis program termasuk melakukan kerjasama dengan agensi kerajaan pusat dalam usaha membendung peningkatan jenayah seksual di negeri itu.

Exco Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara program yang telah dan sedang dijalankan kerajaan negeri ialah pembinaan sahsiah diri dan keluarga serta kursus kenegaraan.

“Kerajaan negeri telah melakukan pelbagai kaedah dan bermacam program dengan kerjasama agensi persekutuan antara program pembinaan sahsiah diri, bina keluarga, kursus kenegaraan dan lain-lain,” katanya kepada FMT.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang juga perlu diperketat dengan mensasarkan golongan sasaran tanpa memilih kumpulan untuk dikenakan hukuman.

“Pengutkuasaan undang-undang bukan sahaja diperketatkan bahkan kena tepat pada sasaran dan tidak memilih. Dalam hal ini juga semua pihak kena mengambil sikap bertanggungjawab terutamanya ibu bapa dan institusi kemasyarakatan, masyarakat kena peka dan bertanggungjawab apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Fadzli berkata, walaupun masalah jenayah seksual dikatakan meningkat di Kelantan, trend sebegitu bukan berlaku di negeri itu sahaja malah seluruh negara.

“Saya dimaklumkan bahawa trend ini berlaku di seluruh negara dan bukan Kelantan sahaja. Namun kita tak mahu perkara seperti ini berlaku di Kelantan.

“Banyak faktor yang menyumbang jenayah seksual antaranya pengaruh media sosial, laman web lucah yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja, pergaulan bebas dan yang utamanya dadah sintetik yang mudah didapati dengan harga yang murah kerana Kelantan bersempadan,” katanya.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun menyatakan kebimbangan berhubung trend peningkatan jenayah seksual di negeri itu mengambil kira banyak menerima laporan berkait kes berkenaan.

Katanya, perlakukan jenayah itu membabitkan gangguan seksual, rogol, cabul dan sumbang mahram.

“Sepanjang tahun 2021, sebanyak 228 kes membabitkan jenayah seksual termasuklah seks luar tabii telah dilaporkan. Bagaimanapun sejak Jan hingga Mei tahun ini sebanyak 76 kes jenayah seksual telah dilaporkan berbanding 84 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu,” kata Zaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.