
Ia diikuti 25.6% bagi pemilik kenderaan Kategori M40 dan hanya 15.9% dalam kalangan B40.
Tinjauan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) juga mendapati sebanyak 56% kenderaan mempunyai nombor plat haram bernilai lebih RM160,000.
Sementara kenderaan bernilai antara RM80,000 hingga RM120,000 sebanyak 33.4% mempunyai nombor plat sedemikian diikuti 8% bagi kenderaan bernilai RM50,000 atau kurang.
Tinjauan sepanjang Mei di sekitar Lembah Klang itu mendapati sejumlah 1,256 kenderaan melakukan kesalahan nombor plat dan cermin gelap.
Hasil pemerhatian mendapati sebanyak 33.4% pemilik kenderaan dengan nombor plat haram terdiri daripada kereta jenis Continental seperti Mercedes, BMW, Audi dan sebagainya.
“Manakala 51% ialah kereta yang dihasilkan oleh pengeluar kereta Asia seperti Honda, Toyota, Hyundai dan sebagainya dan hanya 15.6% dihasilkan oleh pengeluar kereta tempatan (kebanyakannya ialah Proton X70),” menurut kajian itu.
Bagi kesalahan cermin gelap, sebanyak 52.8% ialah kereta yang bernilai lebih RM160,000.
“Dengan kereta yang bernilai lebih RM 160,000 jelas mendominasi kedua-dua kategori kereta dengan nombor plat haram dan cermin gelap, kita perlu mempersoalkan mengapa masyarakat Malaysia melayan orang kaya dengan lebih keistimewaan hingga membolehkan mereka berfikir bahawa mereka boleh dikecualikan daripada undang-undang yang jelas ini,” soal dapatan itu.
Undang-undang negara ini menetapkan cermin hadapan kenderaan dengan paras 50% Visible Light Transmission (VTL) dibenarkan manakala tingkap sisi belakang dan bahagian belakang tiada had.