
Ini adalah mesej disampaikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin kepada wakil Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS semasa lawatannya ke Washington bulan lalu.
Ini berikutan perintah sekatan pelepasan (WRO) ke atas beberapa syarikat tempatan daripada industri getah dan perladangan dan rampasan produk mereka di AS berjumlah puluhan juta ringgit sepanjang tempoh pandemik.
Zuraida dalam sidang medianya selepas merasmikan majlis pelancaran ‘Global Funding for Rubber Innovation’ (GFRI) di sebuah hotel di sini, menyifatkan beberapa tindakan yang diambil oleh CBP AS terhadap syarikat tempatan sebagai tidak adil.
“Sebagai sebuah negara, kita perlu memastikan produk kita diterima dengan baik. Jika anda tidak mahu, kami akan menghantarnya ke tempat lain. Tetapi jangan pegang produk kami,” katanya.
“Kami telah menyatakan pendapat kepada mereka, dan mereka kini kelihatan lebih memahami terhadap kami.”
Zuraida bagaimanapun optimis bahawa barang yang dirampas akan dikeluarkan dalam masa terdekat hasil pertemuannya dengan pegawai AS.
“Isu itu harus diperbetulkan dan saya rasa produk itu akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang,” katanya.
Zuraida diminta mengulas kandungan perbincangannya dengan AS berhubung penyitaan dan pengharaman barangan tempatan atas dakwaan buruh paksa.
Pada 31 Mei tahun lalu, AS merampas 4.68 juta sarung tangan getah bernilai USD690,000 (RM2.84 juta) yang dikeluarkan oleh anak syarikat Top Glove Corporation Bhd disalah sebuah pelabuhannya di Missouri berikutan maklumat mengatakan ia dikeluarkan menggunakan buruh paksa.
Dalam kenyataannya, CBP berkata, sarung tangan itu dirampas berikutan pemeriksaan di Pelabuhan Bandaraya Kansas.
Pengarah pelabuhan Steven Ellis berkata, CBP tidak akan bertolak ansur terhadap amalan buruh paksa dalam rantaian perbekalan di negara itu.
Tindakan CBP itu merupakan susulan kenyataannya sebelum ini, iaitu ia memperolehi “cukup maklumat” untuk mempercayai pengeluar sarung tangan itu menggunakan buruh paksa dalam pengeluarannya.
Agensi itu menemui keterangan berhubung pelbagai petunjuk amalan buruh paksa dalam proses pengeluaran di Top Glove, termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa berlebihan, keadaan kerja dan tempat tinggal yang buruk serta pengambilan dokumen pengenalan diri.
CBP sebelum ini dilaporkan membuat keputusan itu berdasarkan WRO yang dikeluarkan pada Julai 2020.