Kes HFMD menurun 9.3% minggu lalu

Kes HFMD menurun 9.3% minggu lalu

Setakat ini terdapat 3 kes HFMD dimasukkan ke ICU, dengan dua kes mengalami komplikasi radang otak sementara satu lagi kes sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Kes jangkitan HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah, iaitu sebanyak 74,841 kes (90%), menurut Kementerian Kesihatan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kes jangkitan wabak kaki, tangan dan mulut (HFMD) merekodkan penurunan sebanyak 9.3% kepada 16,954 bagi minggu epidemik ke-22 (ME 22/2022) pada 29 Mei hingga 4 Jun berbanding 18,688 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, terdapat peningkatan kes ketara bagi tahun ini yang naik 32 kali ganda sehingga ME 22/2022 berbanding 2,485 kes pada tempoh sama tahun lalu.

“Sehingga 4 Jun, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain, iaitu sebanyak 23,305 kes (28.13%).

“Ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 9,540 kes (11.52%), Perak 8,032 kes (9.7%), Kelantan 5,782 kes (6.98%) dan Johor 5,234 kes (6.32%) sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang 4,600 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hisham berkata, kes jangkitan HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah, iaitu sebanyak 74,841 kes (90%), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun, iaitu 6,520 kes (8%) manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun 1,485 kes (2%).

“Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di negara ini, tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti adalah Enterovirus 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16),” katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat tiga kes HFMD dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan masih di bawah pemantauan rapi.

“Manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah pada 31 Mei,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.