Kempen ‘carpooling’ perlu dihidupkan atasi kesesakan di Lembah Klang, kata aktivis

Kempen ‘carpooling’ perlu dihidupkan atasi kesesakan di Lembah Klang, kata aktivis

Ini kerana pemilikan kenderaan oleh belia bandar boleh menambah masalah kesesakan dan parkir.

Aktivis, Azlan Sani Zawawi mencadangkan pendidikan perlu diterapkan supaya golongan muda di ibu kota tidak terlalu cepat memiliki kenderaan sendiri yang boleh menyumbang kepada kesesakan.
PETALING JAYA:
Aktivis jalan raya menyokong cadangan supaya perkhidmatan e-panggilan motosikal dikaji semula dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang.

Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi bagaimanapun turut mencadangkan supaya kempen “carpooling” dihidupkan semula sebagai salah satu usaha mengurangkan kesesakan.

“Kempen “carpooling” patut diadakan semula sebagaimana pada satu ketika dulu selain itu penambahbaikan dan promosi kaedah pengangkutan awam yang lebih baik untuk keselesaan pengguna,” katanya kepada FMT.

Selain itu, Azlan yang juga pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya berkata, pendidikan untuk warga kota perlu diterapkan supaya golongan muda tidak terlalu cepat memiliki kereta sendiri kerana menyumbang kepada kesesakan jalan, kecuali motosikal.

“Selain menambah faktor kesesakan jalan raya, ia boleh menyebabkan masalah kewangan belia berpunca dari pembelian kredit kenderaan tanpa menilai kemampuan sendiri.

“Pemilikan kereta oleh belia bandar juga menambah masalah tempat letak kenderaan,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung cadangan perkhidmatan e-panggilan motosikal, Azlan mengakui risiko bakal dihadapi penunggang memandangkan struktur dan kaedah sistem penyelenggaraan jalan raya negara ini masih jauh ketinggalan.

“Ini tidak termasuk kualiti dan ketidakpatuhan terhadap SOP penyelenggaraan jalan raya itu sendiri. Masalah kerosakan berulang masih kerap berlaku di sana sini.

“Dalam jangka masa panjang, sistem laluan motosikal di lebuhraya harus diperbaiki ke tahap lebih baik bagi menggalakkan penggunaan motosikal berbanding kereta,” katanya sambil mendedahkan laluan motosikal semakin tidak selamat.

Sebelum ini pakar pengangkutan, Rosli Azad Khan mencadangkan agar perkhidmatan e-panggilan motosikal dikaji semula bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya.

Katanya, negara jiran telah melaksanakan perkhidmatan e-panggilan motosikal tetapi negara ini dilihat teragak-agak untuk melakukan perkara sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.