
Menurut sumber dalam industri penerbangan, Mavcom tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik berikutan kelewatan kementerian melantik pesuruhjaya baharu.
“Pesuruhjaya Mavcom tidak dapat mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup korum sejak dua bulan lepas,” kata sumber itu kepada FMT.
Berdasarkan Akta Mavcom, korum untuk mengadakan mesyuarat mesti terdiri daripada sekurang-kurangnya lima pesuruhjaya dengan salah seorangnya pengerusi eksekutif suruhanjaya itu.
Sumber itu berkata, ketika ini, hanya terdapat tiga pesuruhjaya, iaitu pengerusi eksekutif Saripuddin Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPU) Saiful Anuar Lebai Hussen.
“Tiada sebarang pelantikan semula atau pelantikan baharu,” kata sumber itu.
Tempoh tiga tahun pesuruhjaya Mah Weng Kwai, Long See Wool dan Fauziah Yaacob, yang dilantik pada 1 Mac 2019, tamat akhir Februari lepas.
Tugas melantik atau melantik semula pesuruhjaya Mavcom terletak pada Kementerian Pengangkutan selepas berunding dengan perdana menteri, seperti yang dinyatakan dalam Akta Mavcom.
Sumber itu berkata, kegagalan kementerian terbabit untuk melantik pesuruhjaya bermaksud Mavcom tidak dapat membincangkan perkara penting bagi penerbangan komersial seperti kelulusan dan pembaharuan lesen untuk syarikat penerbangan, pengendali bagasi dan pembekal bahan api.
Seorang penggiat industri yang terjejas berkata, beliau bimbang terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan lesen yang diperlukan untuk perniagaannya.
“Kami jangka kelewatan selanjutnya seperti biasa, kami diberitahu untuk tidak menghubungi mereka selama 90 hari selepas mengemukakan permohonan,” kata juruterbang kanan yang mengendalikan perkhidmatan udara itu.
“Setakat yang saya ingat, ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya sambil menambah, lembaga pesuruhjaya biasanya akan bersidang kira-kira sebulan sekali.
FMT telah menghubungi Mavcom dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong bagi mendapatkan komen.