Rugi RM70,000 selepas dihubungi ‘wakil klinik kesihatan’

Rugi RM70,000 selepas dihubungi ‘wakil klinik kesihatan’

Seorang mekanik mendakwa menerima panggilan memaklumkan beliau melakukan kesalahan kerana mengambil ubat sebanyak lapan kali di klinik,selain dikaitkan dengan pengubahan wang haram.

Mangsa yang menyedari diperdaya membuat laporan polis pada 3 Jun, kata Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook.
PETALING JAYA:
Seorang mekanik di Jempol, Negeri Sembilan mendakwa kerugian RM70,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam menerusi individu yang menyamar sebagai wakil dari klinik kesihatan dan pegawai polis pada 25 Mei lepas.

Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa menerima panggilan memaklumkan mangsa melakukan kesalahan bawah undang-undang Jabatan Kesihatan Malaysia kerana mengambil ubat sebanyak lapan kali di Klinik Kesihatan Ampang Baru, Ipoh, Perak.

Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis bernama Sarjan Lee dari Balai Polis Ipoh yang memberitahu lelaki itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta memindahkan wang dalam akaunnya untuk siasatan polis dan akan ditangkap jika tidak berbuat demikian,” kata Hoo, lapor Bernama.

“Lelaki itu turut dimaklumkan bahawa wang miliknya akan dipulangkan semula jika tidak terlibat dengan pengubahan wang haram.”

Mangsa yang mempercayai perkara ini kemudian membuat pindahan berjumlah RM70,000 keseluruhannya ke dua akaun berlainan.

Hoo berkata, mangsa yang menyedari diperdaya membuat laporan polis pada 3 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam kes berasingan, Hoo berkata, seorang pekerja kilang berusia 36 tahun di Bahau mendakwa kerugian RM11,300 selepas terpedaya dengan perkhidmatan pelacuran secara dalam talian yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Jun.

“Pada hari sama, mangsa diminta memasukkan wang dan membuat 22 kali tambah nilai ke aplikasi aplikasi ‘Razer Gold & Silver’ berjumlah RM11,300,” katanya.

Selepas membuat pembayaran, lelaki itu diminta menghantarkan gambar kad pengenalan sebagai bukti pembayaran.

Mangsa yang kemudian berasa ditipu setelah dimaklumkan rakannya kemudian membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kata Hoo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.