
Ketua Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah menggesa kerajaan persekutuan dan negeri untuk bersama-sama menangani masalah itu.
“Tinjauan mendapati masalah ini telah lama berlaku tanpa kawalan dan pemantauan sepatutnya oleh pihak pengusaha hotel dan juga pihak berkuasa kerajaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Perkara ini telah lama berlaku dan ramai pelancong telah membuat aduan dan komen di halaman media pelancongan popular tentang sakit muntah-muntah dan cirit-birit setelah bercuti dan mandi di pantai Pulau Perhentian.”
Beliau merujuk kepada laporan FMT semalam mengenai kes keracunan makanan dalam kalangan pelancong di sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian Kecil, yang dikaitkan dengan pencemaran sisa kumbahan di sekitar pulau itu.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa berkenaan agar mengambil serius perkara itu kerana ia boleh menghalang pelancong asing mengunjungi pulau itu.
“Menteri pelancongan mesti meminta suatu audit terperinci (mengenai) kemudahan sistem kumbahan hotel dan chalet yang menjejaskan nama baik Malaysia,” katanya.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) mesti bertindak segera mengkaji situasi yang memalukan dan membahayakan kesihatan pelancong. Di mana penguatkuasaan serta SOP (prosedur operasi standard) dan mengapa situasi ini dibenarkan betlarutan begitu lama?”
Beliau memberi amaran bahawa kejadian seperti ini bukan sahaja boleh menjejaskan imej Terengganu, malah seluruh negara, sebagai destinasi pelancongan.
“Isu ini akan memusnahkan reputasi pulau-pulau negeri Terengganu dan Malaysia yang telah lama terkenal dan masyhur,” katanya.
“Jangan kerana isu sisa kumbahan di Pulau Terengganu, industri pelancongan negara rosak reputasi keseluruhannya.”
FMT melaporkan semalam enam pengunjung pulau itu yang menginap di sebuah pusat peranginan mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat.
Salah seorang pelancong yang terkesan memberitahu FMT, beliau menghadapi masalah yang sama ketika mengunjungi pulau itu enam tahun lepas.
Sebahagian daripada 50 pusat peranginan di pulau itu yang dihubungi FMT enggan menyatakan sama ada mereka merawat sisa kumbahan mereka mengikut keperluan JAS.
Seorang pemilik resort yang tidak mahu dinamakan berkata, ramai pengusaha resort yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah dengan membuang sisa kumbahan yang tidak dirawat ke dalam laut.
Raja Kamarul turut menggesa kerajaan tempatan memeriksa sistem paip air bagi mengenal pasti sama ada ia tercemar bagi mengelak lebih banyak kes keracunan makanan berlaku.