
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy mendakwa ia juga mungkin disebabkan oleh faktor perlindungan dan geopolitik.
Beliau berkata, walaupun beliau tidak menyokong amalan buruh paksa yang berleluasa di banyak bahagian dunia, langkah AS itu mungkin bertujuan untuk melindungi industri domestiknya daripada persaingan tidak sihat.
“CBP mungkin menyasarkan produk Malaysia yang bersaing dengan produk yang dikeluarkan di AS. Jika wujud persaingan, terutamanya dalam penggunaan buruh murah, maka mereka mungkin menganggap perlu untuk melindungi industri domestik,” katanya dalam kenyataan.

“Jika itu kesnya, maka AS patut bersikap terbuka mengenainya dan tidak menggunakan isu buruh paksa sebagai satu-satunya alasan untuk mengenakan larangan.”
Beliau berkata, AS juga cenderung menggunakan perdagangan sebagai senjata atas sebab geopolitik seperti percubaan berterusan untuk mengetepikan China di rantau Asia Pasifik.
“Ini mungkin ada kaitan dengan mengapa ia mengenakan larangan terhadap produk dari beberapa negara, termasuk Malaysia.
“Ia boleh dilihat sebagai percubaan jahat untuk mengawal negara seperti Malaysia dan lain-lain,” tambahnya.
Menurut Ramasamy, Malaysia terpaksa menghadapi isu buruh paksa kerana terlalu bergantung kepada pasaran AS.
Beliau juga menyifatkan langkah Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin untuk cuba meyakinkan AS bahawa isu buruh paksa tidak wujud sebagai propaganda politik.
“Sebarang usaha kerajaan Malaysia untuk menafikan kewujudan buruh paksa tidak memberi impak kepada AS,” katanya.
“Saya tak rasa AS bergantung kepada maklumat daripada kerajaan Malaysia kerana mereka menggunakan maklumat yang dikumpul oleh agensi bebas.
“Pihak berkuasa AS bukanlah bodoh untuk sepenuhnya percaya kepada menteri kerajaan kita. Mereka mempunyai sumber maklumat lain yang lebih boleh dipercayai.”