Cemburu disyaki punca wanita hamil ditembak

Cemburu disyaki punca wanita hamil ditembak

Suspek berusia 40 tahun yang dikatakan mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan kira-kira jam jam 11.30 malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Tumpat, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang wanita mengandung yang ditembak di bahagian perut.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif cemburu punca wanita itu ditembak.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun yang dikatakan mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan kira-kira jam jam 11.30 malam tadi.

“Ada beberapa kemungkinan motif kejadian dan salah satunya cemburu, polis akan siasat secara menyeluruh dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi.

“Suspek yang ditahan direman lima hari bermula hari ini sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Berhubung penemuan mayat mangsa, Zaki berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa ditembak di lokasi penemuan mayat atau di lokasi lain.

“Ada dua kemungkinan, (pertama) mangsa ditembak di tempat lain kemudian memandu sehingga ke lokasi penemuan mayat, atau mangsa ditembak di lokasi berkenaan.

“Polis percaya suspek menggunakan pistol separa automatik .38 berdasarkan penemuan kelongsong peluru. Jarak rumah mangsa dengan lokasi kejadian sejauh 15 kilometer sahaja,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, seorang wanita hamil tujuh bulan ditemui mati dengan kesan tembakan dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan petang semalam.

Mangsa yang juga peniaga berusia 26 tahun itu ditemui dalam kereta miliknya jenis Nissan Cefiro di tepi jalan kampung tersebut pada kira-kira 4 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.