
Bekas ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam mengulangi gesaannya agar audit sedemikian dijalankan berkata, ia adalah soal ketelusan atau “kekurangannya yang membimbangkan”.
Undi yang dikutip disimpan selama beberapa hari sebelum dikira dan diumumkan oleh jawatankuasa itu, katanya. Tiada saksi yang mewakili calon atau mana-mana pihak ketiga hadir semasa pengiraan, tambahnya.
Amalan ini sahaja, katanya, mampu mengukuhkan dakwaan wujudnya manipulasi.
Beliau kemudian meminta parti itu memansuhkan proses yang boleh dipersoalkan itu pada masa akan datang.
“Jika kita menuntut pilihan raya yang telus dan adil di pentas nasional, kita harus dilihat menunjukkan contoh ketelusan dalam parti kita sendiri,” kata Farhash kepada FMT.
“Jadi mudahlah, kita hanya perlu audit forensik untuk membuktikan apa yang didakwa oleh jawatankuasa itu.”
Semalam, Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa menyangkal dakwaan Farhash bahawa lebih 26,000 undi tidak diambil kira dalam pemilihan parti.
Katanya, bukan semua 147,000 pengundi membuang undi untuk memilih kepimpinan pusat. Ramai yang memutuskan untuk mengundi pemimpin di peringkat cabang sahaja, tambahnya.
Beliau berkata demikian selepas Farhash mempertikaikan jumlah 119,030 undi yang diperolehi Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail, dua pencabar jawatan timbalan presiden.
Sebagai respons, Farhash berkata, perkara ini terlalu besar untuk diambil mudah atau diabaikan oleh Zaliha dan jawatankuasanya.
“Ramai calon lapor undi hilang, bukan sahaja untuk jawatan timbalan presiden, itu saya beri contoh,” katanya.
“Anda nak beritahu saya, ahli (PKR) di seluruh negara hanya undi untuk jawatan tertentu, tetapi bukan yang lain?”
Farhash mula-mula menggesa agar audit forensik dijalankan pada Ahad lepas selepas keputusan tidak rasmi pemilihan menunjukkan beliau tewas dalam persaingan bagi jawatan ketua cabang Gombak kepada Ketua PKR Selangor Amirudin Shari.
Beliau dilaporkan memperoleh 1,215 undi berbanding Amirudin yang memperoleh 1,858 undi.