
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata, desakan mempercepatkan PRU bukanlah datang daripada Najib, sebaliknya ia adalah keputusan sebulat suara oleh perwakilan Umno.
“Kenyataan Rafizi itulah satu pengakuan, BN akan menang PRU15. MoU kerajaan-PH adalah “delay tactic” PKR supaya partinya tidak cepat bungkus.
“Desakan mempercepatkan PRU bukan desakan Najib, ia adalah keputusan sebulat suara perwakilan Umno di PAU (perhimpunan agung Umno) lepas dan mereka yang hadir Konvensyen BN minggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Puad berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini, bahawa Rafizi mendakwa Najib mendesak PRU disegerakan bagi menempatkan semula Umno dalam kerajaan sekaligus dibebaskan melalui pengampunan diraja sebelum rayuan terakhir kes rasuah SRC.
Beliau mendakwa, Rafizi bersama jentera parti pembangkangnya sebenarnya takut jika PRU dipercepatkan, kerana masa itu digunakan untuk menjatuhkan BN.
“Sebenarnya Rafizi dan pembangkang takut PRU dipercepatkan kerana mereka yang mengejar masa. Mereka takut tidak cukup masa untuk memfitnah seperti di PRU14,
“Fitnah punca BN kalah, pisang tidak akan berbuah dua kali,” katanya.
Semalam, Puad memaklumkan lima pimpinan teratas Umno sudah memutuskan tidak akan ada memorandum persefahaman (MoU) 2.0 kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai ini.
“Itu bermakna MoU kerajaan-PH tetap tamat pada 31 Julai 2022 ini. Keputusan itu disahkan oleh MKT dalam mesyuarat yang lepas.”