Didik pemimpin Umno ‘bermasalah dalam BM’ mengenai MoU, Loke beritahu Ismail

Didik pemimpin Umno ‘bermasalah dalam BM’ mengenai MoU, Loke beritahu Ismail

Setiausaha Agung DAP itu berkata ini kerana pemimpin Umno seakan-akan keliru dan tidak faham dengan MoU dan saling mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Loke Siew Fook (duduk tengah) bersama pemimpin-pemimpin DAP Sabah selepas melancarkan ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menjelaskan dengan lebih terperinci berhubung memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) kepada pemimpin Umno.

Ini kerana, katanya, para pemimpin Umno seakan-akan keliru dan tidak faham dengan MoU berkenaan dan saling mengeluarkan kenyataan bercanggah antara mereka.

“Mereka menyalahkan sesama sendiri sebab tidak faham dengan MoU itu, malah ada satu berita menarik yang saya baca pagi tadi, seorang pemimpin BN (Barisan Nasional) Selangor, menyalahkan seorang pemimpin Umno kerana kononnya ulangi apa yang DAP dan saya cakap.

“Seperti biasa mereka mengatakan DAP sangat berkuasa kerana menentukan apa yang pemimpin Umno cakap, sekali lagi (mereka mengatakan) semuanya salah DAP.

https://youtu.be/yvvdSrNUuFk

“Yang jelas MoU mengatakan sebelum tarikh 31 Julai, tiada pilihan raya akan diadakan.

“Mungkin bahasa Malaysia (bahasa Melayu) mereka (pemimpin Umno) ada masalah. Jadi, saya sarankan kepada perdana menteri yang sekarang ini ‘juara’ bahasa Malaysia supaya mendidik dan menjelaskan kepada pemimpin Umno berkenaan MoU ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan ibu pejabat DAP Sabah, di Damai, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga pemimpin Umno Annuar Musa berkata, tiada tarikh tamat bagi memorandum persefahaman (MoU) kerajaan PH.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil mempersoalkan mengapa Annuar kelihatan seolah-olah mengulangi DAP dalam komennya mengenai MoU berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, DAP kini bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

“Bagi Sabah, sasaran minimum kita ialah mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

“Soal pertambahan kerusi, itu kita akan putuskan selepas berbincang dengan rakan-rakan dalam PH dan juga parti-parti lain yang ingin menjalinkan kerjasama, kita terbuka untuk bekerjasama dengan semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.