Tiada ruang kerjasama PH-Pejuang jika Mahathir tolak Anwar, tegas DAP

Tiada ruang kerjasama PH-Pejuang jika Mahathir tolak Anwar, tegas DAP

Terdahulu Dr Mahathir Mohamad menegaskan Pejuang enggan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang untuk menumbangkan BN.

Lim Guan Eng berkata, PH sememangnya berhasrat membuka pintu rundingan dengan Pejuang menjelang PRU15 namun mungkin terpaksa melupakannya ekoran pendirian Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
DAP menegaskan bahawa tiada ruang kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang sekiranya Dr Mahathir Mohamad berkeras enggan menerima “bos” mereka, Anwar Ibrahim dalam kerangka kerjasama “khemah besar”.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, PH sememangnya berhasrat membuka pintu rundingan dengan Pejuang menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU1%) namun mungkin terpaksa melupakannya ekoran pendirian Mahathir itu.

“Pimpinan PH sekarang ialah Anwar, kami bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir, tapi dia tolak kerjasama dengan PH disebabkan Anwar pengerusi (PH), jadi tak perlu kerjasama lagi. Begitu…mudah sahaja,” katanya kepada FMT.

Mengenai dakwaan Mahathir bahawa kejatuhan PH pada 2020 adalah susulan kesilapan Anwar, Guan Eng berkata, dakwaan sedemikian adalah salah dan tidak adil.

“Punca utama kejatuhan PH disebabkan Langkah Sheraton dengan dalang utamanya adalah (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.

“Dia sepatutnya salahkan pengkhianat tersebut, bukan salahkan orang yang berpegang teguh pada jawatan partinya,” katanya.

Terdahulu, Mahathir menegaskan partinya enggan bekerjasama dengan Anwar dan Muhyiddin meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang bawah pendekatan “khemah besar” untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Pejuang itu berkata, sikap pemimpin pembangkang yang “tidak lurus” menjadi sebab mengapa partinya menolak konsep “khemah besar”.

Beliau turut mengulangi kekesalannya berhubung kejatuhan PH pada 2020 yang didakwanya adalah susulan kesilapan Anwar, sekali gus memberi laluan kepada Umno dan BN kembali mendominasi kerajaan sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.