Tak perlu bercakaran bila PRU, jentera BN sebaiknya siap untuk ‘perang’, kata Salleh

Tak perlu bercakaran bila PRU, jentera BN sebaiknya siap untuk ‘perang’, kata Salleh

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata BN perlu buat persediaan rapi bagi memastikan maklumat mengenai kebaikan dan jasa gabungan itu kepada pembangunan negara sampai ke telinga rakyat.

Salleh Said Keruak berkata ketika ini bukan masa untuk jentera BN bertikam lidah dan bercakaran sebaliknya fokus mempersiapkan jentera menghadapi pilihan raya.
PETALING JAYA:
Jentera Barisan Nasional (BN) disaran mengetepikan perbezaan pendapat berhubung waktu terbaik pilihan raya umum akan diadakan, kata bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, langkah harus dilakukan adalah dengan membuat persediaan rapi bagi memastikan maklumat mengenai kebaikan dan jasa BN kepada pembangunan negara sampai ke telinga rakyat.

“Tidak perlu antara kita bercakaran dan bertikam lidah tentang bila waktu terbaik pilihan raya diadakan.

“Jentera BN sebaiknya bersiap sedia dari segi mental mahupun fizikal untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Salleh berkata, gerak kerja jentera BN perlu terus melangkah selaras pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tidak menolak bila-bila masa saja PRU akan diadakan.

“Pemimpin tertinggi juga sudah pun menyeru kita semua agar bersedia untuk bertempur dalam PRU15 untuk tawan sepenuhnya Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, rekod BN yang sebelum ini sudah memegang tampuk kerajaan berdekad lamanya jelas membuktikan parti itu lebih mengutamakan kebajikan rakyat jika dibandingkan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, melihat kepada rekod pentadbiran PH selama 22 bulan yang mendapat kecaman pelbagai pihak, selain perancangan PN yang kurang berkesan, wajar untuk BN mendapatkan kemenangan majoriti untuk mengembalikan kestabilan negara.

“Saya yakin, rakyat dapat menilai pentadbiran PH yang memberi kesan kepada ekonomi negara selain tidak mempunyai dasar polisi yang kukuh,” katanya.

Salleh turut menyeru supaya jentera BN bekerja secara berpasukan, berdisiplin dan terus setia kepada parti, selain mempersiapkan mental dan fizikal untuk “berperang”.

Selain itu katanya, penting untuk BN melaksanakan pemberian tugas yang sistematik, kempen berkesan, peraih undi yang bekerja keras selain setiap akar umbi memanfaatkan penggunaan media sosial sebaiknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.