
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Hazani Ghazali berkata, serbuan tersebut berjaya merampas barangan bernilai RM717,500 melibatkan burung murai batu, sangkar dan burung pelbagai jenis, senjata api dan daun ketum.
“Kedua-dua penahanan ini dilakukan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) dan JKDNKA bersama Jabatan Perhilitan yang bertindak atas maklumat risikan.
“Empat serbuan dilancarkan ke atas sindiket menjual hidupan liar pada 31 Mei lalu, manakala tiga serbuan di kawasan Bukit Merah, Perak berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun dan merampas 72 burung murai batu dan 47 sangkar burung dengan nilai rampasan dianggarkan RM694,500,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, semalam CPSK dan PGK melakukan serbuan lain di kawasan Gerik, Perak dan berjaya menahan dua lelaki warganegara Thailand berusia 33 dan 37 tahun dan merampas sejumlah empat burung pelbagai jenis.
Hazani berkata, selain itu terdapat rampasan lain, iaitu tiga senjata disyaki senapang patah, dua Bakakuk, satu pistol tiada jenama, lima busur panah silang, 25 peluru penabur dan satu beg plastik lutsinar disyaki daun ketum anggaran 300 gram dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM23,000.
Menurutnya, semua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak dan IPD Gerik di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.
Mengulas lanjut beliau berkata, semua kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind. 2002).
“Polis percaya tangkapan ini hanya sebahagian daripada mereka yang masih bebas serta bergerak aktif memburu haiwan dilindungi dan kami akan terus menjejaki saki-baki anggota sindiket ini,” katanya.