
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga bekas ketua PKR Perak berkata, beliau menganggap pengakuan Ketua Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa bahawa gesaannya agar audit forensik dilakukan sebagai “adil” bermakna audit akan dijalankan segera.
“Saya menggesa supaya siasatan dan audit forensik terhadap pemilihan parti 2022 disegerakan supaya keputusan rasmi boleh disahkan sebelum kongres nasional.
“Jika tidak saya rasa lebih baik kongres nasional itu ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Farhash berkata, perlu ada ruang untuk tindakan susulan sebaik audit itu siap dan parti mesti mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab jika wujud sebarang manipulasi atau penipuan.
Sebelum ini, beliau menggesa supaya audit forensik dilakukan terhadap pemilihan itu susulan keputusan “mengarut” di bahagian Gombak. Beliau mendakwa mempunyai bukti percanggahan antara jumlah undi yang dikira dan pengundi.
Dalam persaingan jawatan ketua cabang PKR Gombak, Farhash tewas kepada Ketua PKR Selangor Amirudin Shari, yang juga menteri besar.
Pada Selasa, Zaliha berkata, jawatankuasa pemilihan parti akan memutuskan dalam tempoh seminggu jika audit forensik diperlukan. Menurutnya, permintaan Farhash adalah “adil”.