Pasangan warga emas, anak disyaki pengedar ditahan, polis rampas dadah RM1.25 juta

Pasangan warga emas, anak disyaki pengedar ditahan, polis rampas dadah RM1.25 juta

Tiga beranak itu ditahan di kediaman mereka kerana disyaki mengedar dadah di sekitar Johor.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan itu anggotanya merampas 14.31kg serbuk ekstasi, 4.06kg ketamin, 6,440 biji pil Eramin 5 dan 10,291 biji pil ekstasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suami isteri warga emas dan anak lelaki mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, kelmarin.

Pasangan berusia 70 dan 73 tahun serta anak lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di kediaman mereka di Taman Century, Johor Bahru, pada 3.30 petang.

Turut ditahan rakan kepada anak lelaki pasangan itu yang juga berusia 36 tahun selepas polis melakukan serbuan susulan di sebuah pangsapuri dekat Taman Mount Austin, 5.50 petang semalam.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, ketika serbuan, polis menemui pelbagai jenis dadah disimpan dalam kediaman dan kenderaan suspek.

“Hasil risikan dan siasatan dilakukan hampir empat bulan lalu, polis berjaya membongkar sindiket yang menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Dadah ini dibungkus dalam bungkusan menyamai paket minuman untuk mengelirukan pihak berkuasa dan jenis minuman itu mungkin popular di luar negara.

“Mereka menyasarkan pusat hiburan untuk mengedarkan dadah ini yang mana sepaket boleh mencecah RM250,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Kamarul Zaman berkata, dalam dua serbuan itu, polis merampas 14.31kg serbuk ekstasi, 4.06kg ketamin, 6,440 biji pil Eramin 5 dan 10,291 biji pil ekstasi yang semuanya bernilai lebih RM1.25 juta.

Katanya, turut disita empat kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM41,093, seutas rantai leher dan dua utas jam tangan semuanya bernilai RM206,193.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh hampir 200,000 penagih dadah jika terlepas ke pasaran.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing dua daripada empat suspek positif methamphetamine dan semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek kini direman tujuh hari hingga 7 Jun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.