
Kolaborasi itu akan melihat artis terbabit mempamerkan lebih 500 karya lukisan, kaligrafi dan pelbagai bentuk seni lain secara fizikal dan dalam talian. Karya artis berkenaan juga akan ditempa menjadi token tidak sepiawai (NFT) untuk pasaran digital global.
Kolaborasi itu dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri. Turut hadir ialah ketua setiausaha kementerian, Saraya Arbi selain duta dan diplomat dari Argentina, Azerbaijan, Belgium, Croatia, Cuba, Belanda, Namibia, Senegal, Kuwait, Iran, Ghana dan Tajikistan.
Acara itu turut melihat pelancaran program FMT Accelerator yang menyasarkan pelaburan dalam syarikat pemula dan artis di rantau ini yang menunjukkan potensi hebat.

Pengasas Mart Expo Mohsen Golshiri menyifatkan program FMT Accelerator sebagai peluang yang mengujakan.
“Artis memainkan peranan penting dalam masyarakat kita dan disebabkan itulah kita sentiasa dapat menghitung kejayaan sesebuah tamadun berdasarkan layanan terhadap golongan artisnya.
“Di Mart Expo, kami mengenal pasti dan mempromosikan artis terpilih dari pelbagai latar belakang kebudayaan. Kami menjadikan seni sesuatu yang mudah didekati setiap lapisan masyarakat dengan memaparkan bakat ribuan artis di platform kami yang mempamerkan pelbagai jenis serta nilai karya seni,” katanya.
Nancy dalam ucapannya memuji inisiatif itu sebagai satu cara untuk mempromosikan pelancongan menerusi seni.

“Kesan wabak Covid-19 menyebabkan artis kehilangan platform mahupun khalayak untuk membolehkan mereka berkarya,” katanya dengan menambah bahawa kolaborasi itu mampu menyediakan platform penting buat golongan artis.
“Kami mengalu-alukan inisiatif bagi mempromosikan pelancongan menggunakan seni, yang dapat menjadi cara meraih wang dengan lebih menyeluruh dan baik, termasuk mempromosikan seni di peringkat global sebagai pasaran eksport.
“Kami juga teruja melihat bagaimana teknologi baharu seperti NFT dapat digunakan untuk mencungkil potensi dalam industri seni,” katanya.
Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar menyuarakan rasa teruja terhadap kolaborasi bersama Mart Expo dan artis di seluruh dunia yang membolehkan artis terlibat menempa hasil karya mereka sebagai NFT.

Menurutnya, FMT telah lama mengimpikan usaha untuk memberi peluang kepada golongan artis menembusi pasaran yang sebelum ini terlalu sukar untuk dicapai, selain merintis penghasilan projek NFT.
“Bagi FMT, sebagai perniagaan berasaskan web, kami memahami sifat teknologi blok rantai yang menjalani integrasi berterusan, khususnya dengan kemunculan NFT berasaskan seni,” katanya.
“Sebagai portal berita berbahasa Inggeris terbesar di Malaysia juga, kami komited membawa nilai tambah bagi komuniti hebat ini.
“Kami sedar bahawa banyak pasaran berkaitan teknologi kini berdepan sedikit ketidaktentuan, namun percaya teknologi dan asas NFT akan terus menawarkan impak ‘net positive’ bagi golongan artis di seluruh dunia.”
FMT dan Mart Expo menjemput anda menyertai mereka dalam pengembaraan menemui artis, menikmati hasil karya mereka selain memahami dengan lebih lanjut mengenai dunia seni serta NFT.
Kunjungi halaman Instagram Mart Expo Globe dan tinggalkan komen di hantaran “Art & Society Campaign” untuk berhubung dengan artis dan peminat seni dari seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut tentang program FMT Accelerator, klik di sini.