Keperluan patuh piawaian Sirim bagi peranti vape langkah tepat, kata pemain industri

Keperluan patuh piawaian Sirim bagi peranti vape langkah tepat, kata pemain industri

Keperluan itu akan membantu melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd Shahabudeen Jalil berkata, pensijilan Sirim harus dilihat sebagai satu langkah ke arah pengawalseliaan.
PETALING JAYA:
Pemain industri vape mengalu-alukan keperluan pematuhan piawaian bagi peranti vape yang ditetapkan oleh Sirim dengan berkata, ia dapat menjamin kepentingan serta keselamatan pengguna.

Merujuk kepada pengumuman kerajaan, semua pengilang dan pengimport rokok elektronik mesti mendapat pengiktirafan pensijilan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd (SQISB) dan memperoleh pelabelan MS SIRIM SQISB selewat-lewatnya 3 Ogos.

Pengarah Nanostix Innovation Sdn Bhd Shahabudeen Jalil berkata, keperluan pensijilan Sirim akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, baik pemain industri mahupun pengguna, dan harus dilihat sebagai langkah ke arah pengawalseliaan.

“Keperluan pensijilan adalah sesuatu yang digesa oleh pemain industri dan dipercayai dapat memberi manfaat kepada industri vape kerana ia bermakna peranti vape yang berada dalam pasaran mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan.

“Jadi pengguna akan lebih yakin dengan peranti tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Nanostix bekerjasama dengan Sirim sejak 2019 dalam ujian ke atas bateri dalam perantinya bagi memastikan keselamatan pengguna.

Persatuan Pengguna Vape Malaysia (VCAM) berkata, keperluan pematuhan piawaian yang diumumkan pada 5 April itu membantu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap peranti vape di pasaran serta menghindari lambakan produk yang berkualiti rendah di negara ini.

“Pensijilan Sirim bagi peranti vape adalah penting untuk mengesahkan bahawa semua peranti rokok elektronik tempatan atau diimport mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

VCAM berkata, memandangkan Malaysia belum mengawal selia amalan dan peranti vape, pensijilan Sirim sekurang-kurangnya dapat mengurangkan isu lambakan peranti yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dan pembuatan.

Bagaimanapun, ia berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberikan sekurang-kurangnya tempoh satu tahun kepada pemain industri bagi mendapatkan pensijilan itu sebelum ia berkuat kuasa.

“Masa yang diperlukan oleh pemain industri untuk membuat perubahan dalam pengeluaran produk hanya akan diberikan selepas proses ujian dan pensijilan selesai.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.