Kenapa defensif sangat, Chin Tong soal Wee

Kenapa defensif sangat, Chin Tong soal Wee

Ketua DAP Johor berkata beliau sekadar memberi respons terhadap komen 'pelik' oleh Wee Ka Siong mengenai cadangan menteri itu berkaitan isu kesesakan lalu lintas.

Ketua DAP Johor Liew Chin Tong (kiri) berkata beliau tidak pernah meletakkan salah sepenuhnya terhadap Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong atau kementeriannya.
PETALING JAYA:
Ketua DAP Johor Liew Chin Tong menyoal kenapa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong bersikap begitu defensif berhubung isu kesesakan lalu lintas.

Liew yang memaklumkan sekadar memberi respons terhadap komen “pelik” oleh Wee mengenai cadangan menteri itu dalam isu berkenaan, berkata: “Saya tidak tahu kenapa Wee begitu defensif sedangkan setiausaha agung DAP dan bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook, mahupun saya tidak pernah meletakkan salah sepenuhnya terhadap beliau atau kementeriannya sepenuhnya.

“Wee berkata tidak banyak boleh dilakukannya dan disebabkan itu sesiapapun tidak patut menyalahkan beliau atau kementeriannya, namun saya tertanya-tanya apakah peranan dan tugas sebenarnya sebagai menteri pengangkutan.”

Semalam, Wee membidas kritikan Liew yang mengatakan beliau lemah dalam membuat dasar untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

Liew mengulas dua kenyataan Wee, iaitu terdapat terlalu banyak kenderaan di atas jalan, dan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan tambang pengangkutan awam.

Dalam kenyataan hari ini, Liew berkata kerajaan hanya perlu memberikan subsidi pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan kereta persendirian.

“Menaikkan harga tambang pengangkutan awam hanya akan memaksa orang ramai terus menggunakan kenderaan persendirian,” katanya.

“Jika mereka tidak mampu menggunakan kereta, mereka akan beralih menggunakan motosikal yang hanya akan mengakibatkan lebih banyak kemalangan dan kematian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.