Henti eksport ayam bukan keputusan mudah, kata KJ

Henti eksport ayam bukan keputusan mudah, kata KJ

Ia susulan langkah sementara diambil kerajaan menghentikan eksport sehingga 3.6 juta ayam bagi menstabilkan bekalan.

Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa kerajaan kini bekerjasama rapat dengan pengeluar ayam dalam negara untuk memastikan mereka dapat meningkatkan pengeluaran. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengakui langkah kerajaan menghentikan sementara eksport sehingga 3.6 juta ayam bermula 1 Jun lalu yang turut menjejaskan bekalan ke Singapura bukan keputusan mudah.

“Kami menghargai hubungan dua hala dengan Singapura. Jadi kami berharap ini adalah langkah sementara sehingga keadaan bekalan dan harga di Malaysia stabil,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita mengenai sejauh mana kejayaan larangan import dalam mengawal harga dan menstabilkan bekalan ayam. Khairy berada di sini selama empat hari sejak 31 Mei hingga 3 Jun ini untuk Felow Pertukaran Lee Kuan Yew.

“Jelas sekali, kami berada dalam situasi yang sangat sukar memandangkan isu rantaian bekalan berkait dengan isu makanan dan perubahan iklim yang menjejaskan masa yang diambil untuk ayam, itik membesar dan memasuki pasaran.

“Jadi gabungan semua faktor itu menyebabkan kekurangan dalam bekalan dan membawa kepada harga yang tinggi di Malaysia.

“Walaupun negara sudah tentu akan mendahulukan keperluan makanan mereka sendiri, kami juga sedar bahawa kami mempunyai tanggungjawab sebagai pengeksport kepada negara jiran kami termasuk Singapura,” katanya.

Bagaimanapun Khairy berkata, keadaan semakin pulih.

“Kami bekerjasama rapat dengan pengeluar ayam di Malaysia untuk memastikan mereka dapat meningkatkan pengeluaran. Kami juga sedang melihat makanan gantian untuk memastikan kami mempunyai bekalan makanan yang berpatutan untuk ayam itik.

“Apabila perkara ini selesai, sudah tentu kami berharap untuk meneruskan eksport ayam, itik kami termasuk ke Singapura,” katanya.

Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, kira-kira 34% daripada import ayam Singapura pada 2021 adalah dari Malaysia – hampir semuanya diimport sebagai ayam hidup yang disembelih dan disejukkan di Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.