Projek Pan Island Link: P Pinang terus usaha mohon dana persekutuan

Projek Pan Island Link: P Pinang terus usaha mohon dana persekutuan

Kerajaan Pulau Pinang memohon RM1.6 bilion daripada rancangan boleh pinda ketiga dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi tahun ini dan RM425 juta bagi tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata projek itu menguntungkan, baik untuk kerajaan negeri mahupun persekutuan.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang akan terus memohon dana daripada Putrajaya untuk melaksanakan projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) sepanjang 20km, walaupun gagal selama tiga kali.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri hari ini bahawa kerajaan negeri memohon RM1.6 bilion daripada rancangan boleh pinda ketiga dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi tahun ini dan RM425 juta bagi tahun depan.

Katanya, Fasa 1(A) projek itu melibatkan pembinaan laluan sepanjang 2.4km dari persimpangan Lebuh Raya Lim Chong Eu ke persimpangan Jalan Tun Dr Awang, Bayan Baru, bagi meredakan kesesakan di Jalan Tengah, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr Awang.

Menurutnya, sekiranya masalah kesesakan lalu lintas di kawasan perindustrian Pulau Pinang diselesaikan, sektor perindustrian akan jauh membangun seterusnya menyumbang kepada KDNK serta cukai persekutuan.

“Ia keadaan ‘menang-menang’ (untuk kerajaan negeri dan persekutuan), dan kami tidak faham kenapa kerajaan persekutuan tidak dapat mempertimbangkannya (memberi sumbangan).

“Kami berharap ADUN (pembangkang) kami di sini (Barisan Nasional dan Perikatan Nasional) akan membangkitkan isu itu dengan kerajaan persekutuan, khususnya Yang Berhormat Seberang Jaya memandangkan beliau bertugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya merujuk kepada Afif Bahardin, pegawai khas di kementerian berkenaan.

Beliau turut mengkritik keputusan kerajaan Perikatan Nasional-Barisan Nasional membatalkan dana diperuntukkan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu bagi projek LRT di Bayan Lepas, selain keengganan meluluskan jaminan pinjaman berjumlah USD500 juta pada 2019 bagi membiayai sebahagian projek itu.

Projek PIL1 dan LRT Bayan Lepas adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.