Najib beri isyarat BN berdepan risiko besar jika tangguh lagi PRU15

Najib beri isyarat BN berdepan risiko besar jika tangguh lagi PRU15

Najib Razak berharap kepimpinan tertinggi berunding sebaiknya bagi menentukan tarikh tepat bagi PRU15.

Najib Razak menggesa kepimpinan tertinggi Umno membuat keputusan yang ‘tepat dan bijaksana’ demi kepentingan negara.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak memberi isyarat bahawa Barisan Nasional (BN) akan berdepan “risiko besar” jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ditangguhkan untuk tempoh lebih lama.

“Bilakah pilihan raya (PRU15)? Saya tak pasti. Tetapi saya nak kongsikan perkara ini untuk pertama kali … saya nak mengaku kita (sepatutnya) buat PRU14 selepas Sukan SEA (2017).

“Jika kita adakan PRU selepas itu, barangkali BN menang besar tetapi desakan pihak tertentu kita tangguh bila tangguh keadaan berubah,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen BN sempena ulang tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018 setelah Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018. Pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir Mohamad berjaya menumbangkan kerajaan BN dengan majoriti mudah 113, manakala Warisan menang lapan kerusi menjadikan keseluruhan 121 kerusi di Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu.

Ia kekalahan bersejarah Umno dan BN sejak memegang tampuk kerajaan selepas kemerdekaan pada 1957.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan adalah antara individu yang lantang mendesak kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengadakan PRU15 selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat pada Julai nanti.

Mereka mendakwa faktor “feel good” yang dirasai rakyat dengan kembalinya sokongan kepada BN susulan kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) perlu diambil kesempatan oleh parti itu.

Sementara itu, Najib yang juga pengerusi Lembaga Penasihat BN berharap kepimpinan tertinggi Umno berunding sebaiknya bagi menentukan tarikh PRU15.

“Kita dah putuskan ‘Top 5’ Zahid, Tok Mat dan ketiga-tiga naib presiden berundinglah sebaik-baiknya, pastikan kita bantu perdana menteri untuk buat keputusan tepat, pilihan tepat kerana risikonya terlalu tinggi.

“Ini bukan soal Najib, soal Zahid, soal Ismail Sabri, ini soal masa depan negara. Buatlah keputusan tepat dan bijaksana, jangan kita fikir pasal hal diri tetapi fikirlah masa depan parti dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.