
“Ada sesuatu yang ‘menyentuh’ diri saya,” katanya kepada FMT ketika mengimbau kembali detik dia mendapat tahu ibu bapanya telah meninggal dunia dan adik perempuannya ditinggalkan dalam jagaan nenek yang sudah terlalu berusia untuk bekerja.
“Saya sedar saya perlu keluar daripada tabiat ini untuk membantu mereka.”
Dia mendapat sokongan yang diperlukan di salah sebuah pusat perlindungan Komited Malaysia di Pahang.
Komited Malaysia adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha memulihkan penagih dadah dan memberi mereka peluang membina kehidupan baharu. Ia ditubuhkan pada 1998 dan mempunyai lima pusat perlindungan serta dua pusat “drop in” di Pahang. Kakitangannya juga bekas penagih dadah.
Anja, seorang transgender, mula menggunakan dadah pada usia 19 tahun. Katanya, keluarga tidak dapat menerima gaya hidupnya dan menjauhkan diri sejak dia mula mengambil dadah.
Ini menyebabkan dia hidup di jalanan untuk tempoh hampir enam tahun.
“Untuk membiayai tabiat ini, saya jadi pekerja seks,” katanya.
Katanya, dia kadangkala “melepak” di sekitar pusat “drop in” Komited Malaysia, yang dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang dan membenarkan penagih gelandangan makan, mandi dan berehat sebelum meredah malam yang panjang di jalanan.
Anja menggambarkan keadaannya setiap hari dalam proses membersihkan dirinya daripada dadah sebagai meletihkan, tetapi berkata, dia akan mengingatkan dirinya bahawa ia demi diri sendiri dan keluarga.
“Saya lalui setiap hari selangkah demi selangkah dan kini telah lima tahun menjalani kehidupan bersih (daripada dadah),” katanya.
Anja turut mengakui, tanpa sokongan fizikal serta mental oleh Komited Malaysia, dia tidak mungkin dapat berbaik dengan keluarga dan kembali menyertai masyarakat.
Seorang lagi bekas penagih dadah, Sairabanu yang berasal dari Pulau Pinang juga berjaya mengatasi ketagihannya selepas datang ke Pahang.

“Saya meninggalkan keluarga kerana malu dengan tabiat yang bermula sejak zaman remaja, malah selama 30 tahun langsung tidak berhubung dengan mereka,” katanya.
Bagaimanapun selepas memasuki salah satu pusat perlindungan Komited Malaysia, dia menghubungi semula keluarganya yang gembira menerimanya semula.
“Saya memang sangat bersyukur berjaya keluar daripada tabiat ini,” katanya.
“Sudah 10 tahun saya bersih daripada dadah,” katanya.