Pulangnya Rafizi ke arena politik disambut saman fitnah bekas CEO Sapura Energy

Pulangnya Rafizi ke arena politik disambut saman fitnah bekas CEO Sapura Energy

FMT sebelum ini melaporkan Rafizi Ramli berdepan saman fitnah berhubung kenyataan beliau semasa berbalah dengan Najib Razak mengenai masalah kewangan SEB.

Rafizi Ramli berkata, Shahril Shamsuddin memfailkan saman terhadapnya di mahkamah berhubung kenyataannya susulan desakan Najib Razak supaya kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan SEB.
PETALING JAYA:
Bakal timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengesahkan menerima writ saman daripada bekas CEO Sapura Energy Berhad (SEB), Shahril Shamsuddin, berhubung kenyataan beliau semasa berbalah dengan Najib Razak mengenai masalah kewangan SEB.

FMT sebelum ini melaporkan Rafizi berdepan saman fitnah selepas tarikh akhir surat tuntutan maaf yang dihantar kepada Rafizi pada April tamat. Surat itu antara lain menuntut tiga artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadap Shahril ditarik balik.

“Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan-kenyataan saya di mahkamah kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah untuk melindungi kepentingan awam,” kata Rafizi dalam kenyataan.

“Pulangnya saya ke arena politik tanah air disambut dengan kes mahkamah yang pertama yang dibawa oleh Shahril,” kata beliau, merujuk kepada kemenangannya pada pemilihan PKR baru-baru ini.

Menurut Rafizi, writ saman diserahkan kepada beliau pada 11 Mei. Rafizi berkata beliau akan diwakili pasukan peguam diketuai Ranjit Singh, yang mewakilinya dalam perbicaraan kes berkaitan National Feedlot Corporation.

Surat tuntutan peguam Shahril antara lain menyatakan beliau tersinggung dengan dakwaan Rafizi bahawa pemegang saham majoriti SEB yang oleh dipimpin Shahril, memperolehi sejumlah RM1.33 bilion, dengan RM1.1 bilion merupakan gaji dan selebihnya bayaran lain dan dividen.

Rafizi mendakwa bayaran itu adalah tiga kali ganda nilai dividen syarikat itu sebanyak RM440 juta yang dibayar kepada pemegang saham lain.

Peguam Shahril bagaimanapun menafikan bahawa beliau menerima imbuhan RM1.1 bilion.

Surat tuntutan menjelaskan jumlah keseluruhan imbuhan yang diperolehi Shahril antara 2013 dan 2021 ialah RM486 juta dan ia diberikan selepas beliau mencapai dan memenuhi petunjuk prestasi utama tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.