
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang bertanding sebagai calon ketua bahagian Gombak berkata, tindakan itu perlu berikutan timbul kesangsian dan keraguan bahawa sistem pemilihan PKR kali ini tercemar ekoran manipulasi pihak tertentu.
Beliau mendakwa, masalah berkenaan agak ketara dan dapat dilihat dengan jelas kerana begitu banyak bantahan terhadap keputusan pemilihan parti 2022 direkodkan setelah keputusan tidak rasmi disiarkan Ahad lalu.
“Bukan sahaja daripada pihak saya, tetapi rupanya ramai calon yang bertanding turut menyuarakan berbagai keraguan terhadap keputusan tersebut.
“Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi serta berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu,” katanya di Facebook.
Jelasnya lagi, gesaan daripada semua calon yang membuat bantahan supaya satu audit forensik oleh entiti bebas ke atas mekanisme pemilihan parti disusuli kiraan semula undi di hadapan saksi terdiri daripada wakil calon adalah wajar.
“Segala kesangsian dan keraguan bahawa pemilihan parti ini telah tercemar oleh manipulasi dapat di atasi kita semua, termasuk saya sendiri dan boleh berlapang dada menerima keputusan itu sebagai sesuatu yang sah.
“Syor saya supaya pertikaian sebegini tidak berulang dalam pemilihan akan datang adalah supaya sistem pemilihan parti ini benar-benar bebas daripada campur tangan pihak yang berkepentingan.
“Saya amat berharap pihak JPP dan parti mengambil serius pandangan ramai calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambil kira cadangan untuk penambahbaikan,” katanya.