Menteri tegur ‘tabiat’ syarikat suka tunda penerbangan

Menteri tegur ‘tabiat’ syarikat suka tunda penerbangan

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata kerajaan hanya menerima alasan penundaan penerbangan atas faktor cuaca sahaja.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, beliau nampak ada syarikat penerbangan secara ‘luar biasa’ menunda penerbangan sehingga menyusahkan pengguna.
PETALING JAYA:
Isu penundaan penerbangan hanya dapat diterima sekiranya membabitkan faktor cuaca sahaja, bukannya dari sudut kejuruteraan atau penyelenggaraan, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Katanya, beliau sendiri melihat kelewatan penerbangan yang agak “luar biasa” dan perkara berkenaan tidak boleh dijadikan budaya atau tabiat.

“Saya minta syarikat penerbangan ini jangan ambil mudah tentang kelewatan. Sekiranya sebab teknikal, kita tidak bertolak ansur, kita tak kompromi. Kalau dari segi ‘engineering’, sesuatu alat ganti belum lagi siap atau faktor penyenggaraan, kita tak benarkan.

“Faktor cuaca, ya … ini memang kita faham kerana di luar kawalan. Tapi sebab mereka boleh mengatur dari awal sampai penerbangan akhir, dari permulaan pun sudah lewat, akhirnya semua lewat,” katanya menurut laporan Awani.

Wee juga mahu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menangani isu penundaan penerbangan itu dengan teliti.

Beliau turut menegur “tabiat” syarikat penerbangan tertentu yang sering menunda jadual penerbangan.

“Ada syarikat penerbangan saya nampak kelewatan agak luar biasa. Itu perlu kita ambil tindakan cepat. Sepatutnya (pihak) pengurusan perlu beritahu kepada pengguna lebih awal dan sistem penjadualan perlu dilihat semula.

“Saya tidak mahu orang anggap itu budaya kita. ‘Because punctuality is very important’. Kena jaga dan lindungi pengguna,” katanya lagi.

Semalam, Mavcom dalam kenyataannya berkata, AirAsia mengendalikan 2,954 penerbangan dengan 13% atau 368 penerbangan tertunda melebihi satu jam. Ini diikuti Malaysia Airlines yang mengendalikan 1,447 penerbangan dan mencatatkan 3% atau 44 penerbangan tertunda.

“Selain itu, MASwings mengendalikan 656 penerbangan dengan 10% atau 64 penerbangan tertunda, manakala penerbangan Firefly turut tertunda sebanyak 2% atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan dikendalikan,” katanya.

Katanya, Batik Air (sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air) yang mengendalikan 555 penerbangan mencatatkan 1% atau empat penerbangan tertunda.

Semua statistik yang dikeluarkan adalah berdasarkan tempoh perjalanan ketika Aidilfitri baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.