
Azrul Mahathir Aziz (PH-Bayan Lepas) dalam usul penghargaan atas ucapan gabenor berkata, puluhan ribu pekerja migran yang bakal menghuni asrama berkenaan akan mengakibatkan “perubahan demografik”, di Teluk Kumbar dan Sungai Batu.
Katanya, ini akan mengakibatkan banyak masalah untuk penduduk tempatan.
“Penduduk (Teluk Kumbar dan Sungai Batu) bimbang dengan masalah sosial yang bakal berlaku dari segi keselamatan, ekonomi, agama dan perkongsian kemudahan,” katanya dalam sidang dewan undangan negeri, hari ini.
“Paling membimbangkan, penduduk tempatan akan rasa terperangkap dan seperti minoriti di tengah-tengah ‘Bandaraya Antarabangsa Teluk Kumbar’. Kita tidak mahu warga asing ini menjadi nelayan separuh masa, berniaga di pasar malam dan mengganggu mata pencarian orang tempatan.”
Ahli Amanah itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak dan pengundi di kawasannya memandangkan pekerja migran terbabit akan bebas bergerak dan bukan sekadar dihadkan dalam asrama masing-masing. Tegasnya, kawasan sekitar lokasi dicadangkan untuk pembinaan asrama itu juga mempunyai banyak sekolah.
Selain itu, beliau membangkitkan isu tekanan air rendah dihadapi penduduk Teluk Kumbar, dan menyoal sama ada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bersedia memenuhi keperluan tambahan bagi bekalan air kepada lebih 40,000 pekerja migran.
Beliau mempertikai kenapa projek itu dicadangkan di Teluk Kumbar dan Sungai Batu memandangkan kawasan itu tiada gereja untuk migran beragama Kristian, manakala masjid sedia ada tidak dapat menampung tambahan jemaah.
Katanya, walaupun tidak membantah pembinaan asrama seperti itu bagi pekerja di Zon Perindustrian Bayan Lepas, beliau melihat projek itu lebih sesuai dipindahkan ke Batu Kawan khususnya atas tanah dimiliki Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Cadangan pembinaan tiga kompleks asrama – dua di Teluk Kumbar dan satu di Sungai Batu – mencetuskan kritikan masyarakat tempatan yang menganjurkan demonstrasi aman, sejak tahun lalu.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, berkata pembinaan asrama untuk pekerja migran di negeri itu merupakan penyelesaian jangka panjang terhadap isu golongan itu yang tinggal di kawasan perumahan bersama penduduk setempat.
Dalam jawapan bertulis kepada ADUN Penaga Yusni Mat Piah, beliau berkata walaupun Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 membolehkan kawasan perumahan diubah suai menjadi asrama mengikut syarat tertentu, kerajaan negeri tidak bersetuju menempatkan golongan itu di rumah pangsa atau kejiranan kos rendah mahupun kawasan perkampungan.