Saya hanya mahu Sungai Besar kembali kepada BN, kata Khir Toyo

Saya hanya mahu Sungai Besar kembali kepada BN, kata Khir Toyo

Bekas menteri besar itu berkata, BN Selangor juga perlu diperkuat, selain perlu sedia bekerjasama mencari formula dengan parti lain termasuk PN bagi merampas kerajaan negeri dari PH.

Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, soal siapa bertanding di Sungai Besar terserah kepada presiden Umno tetapi yang paling penting adalah mengembalikannya kepada BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, beliau hanya menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan keputusan akhir terserah kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan siapakah calon yang layak dipilih bertanding di kawasan itu.

Katanya, soal siapa calon bukan perkara utama perlu dibincangkan sebaliknya usaha mengembalikan semula kerusi berkenaan kepada Umno lebih penting dengan meletakkan calon yang disenangi dan diterima rakyat.

“Sebenarnya soal calon ini presiden yang pilih, tapi kena pastikan siapa sahaja calon mesti menang di Sungai Besar. Itu niat utama saya pun, yang penting Parlimen (Sungai Besar) itu hendaklah dikembalikan kepada BN, soal calon ini kehendak presiden.

“Noh Omar (ketua Umno Selangor) tak hubungi saya pun, saya tak melobi, patut dia kena faham. Saya kata calon ialah pilihan presiden yang paling penting kita bekerja untuk parti, kita tahu kita tak boleh buat kenyataan mendahului pemimpin,” katanya kepada FMT.

Khir berkata, beliau juga bersedia membantu memenangkan calon yang dipilih nanti untuk memastikan BN menang kembali di Sungai Besar.

Ditanya peluang BN untuk merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan (PH), bekas ADUN Sungai Panjang itu berkata, perkara utama perlu dilakukan Umno ialah memperkuat BN di negeri itu.

Katanya, jika parti-parti dalam komponen BN kembali kuat dan ia belum cukup untuk menumbangkan PH, maka parti perlu mencari formula bekerjasama dengan parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN) jika ia dipersetujui pucuk pimpinan.

“Bukan Umno sahaja kuat, sebab di Selangor pengundi ramai campur pelbagai kaum, kemudian mencari formula baharu dan formula gabungan dengan parti lain mesti melibatkan orang Cina, orang India, kalau nak Melayu sahaja tak boleh menang.

“…kalau kita lihat jumlah undi PAS dengan Umno kalau dicampur untuk PRU lepas hanya 17 kerusi sahaja boleh menang.

” Kalau Umno Selangor nak tawan balik Selangor kena kuatkan BN, kemudian buatlah formula dengan PN ke mana-mana parti tak ada masalah tapi paling utama kena kuatkan BN dulu.

“Kalau MCA lemah kena bantu kuatkan MCA, kalau MIC lemah kena bantu MIC kuat balik,” katanya selain berharap calon yang akan diangkat majoritinya perlu muka baharu dan beberapa muka lama.

Noh sebelum ini “menyelar” sikap pemimpin politik negeri itu yang mula menawarkan diri menjadi calon pada PRU15.

Kenyataan Noh itu menyusul selepas Khir menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.