Jelas terperinci kelulusan cadangan bina 3 lebuh raya baharu, gesa ahli Parlimen

Jelas terperinci kelulusan cadangan bina 3 lebuh raya baharu, gesa ahli Parlimen

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mempersoalkan anggaran kos pembinaan bagi setiap lebuh raya berkenaan.

Kerajaan meluluskan cadangan daripada pihak swasta bagi membina lebuh raya baharu termasuk tiga buah di sekitar Lembah Klang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pihak swasta yang diluluskan bagi membina lebuh raya baharu termasuk di sekitar Lembah Klang.

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof minggu lalu berkata, cadangan yang dikemukakan telah diluluskan oleh kerajaan bagi pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), Bangi-Putrajaya Expressway (BPE) dan KL Node.

Ong mengemukakan beberapa soalan kepada Unit Kerjasama Swasta Awam (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri, termasuk anggaran kos pembinaan bagi setiap lebuh raya dan jumlah geran kerajaan yang diperuntukkan kepadanya.

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut mempersoalkan identiti pemegang konsesi bagi setiap lebuh raya berkenaan dan sama ada mereka dipilih melalui proses tender terbuka.

“Jikalau kaedah tender terbuka tidak dipilih, apakah kelayakan syarikat konsesi ini yang membolehkan mereka dilantik oleh UKAS untuk melaksanakan projek lebuh raya ini?” soalnya dalam kenyataan.

“Adakah syarikat konsesi ini mempunyai pengalaman dan ‘track record’ yang cukup teguh untuk memberi keyakinan kepada pihak UKAS bahawa ia akan dapat melaksanakan projek-projek ini dengan baik?”

“Apakah terma dan syarat dalam perjanjian konsesi termasuk kadar tol?”

Ahli Parlimen DAP itu turut mempersoalkan sama ada kadar tol akan dinaikkan dalam masa ditetapkan dan pampasan yang perlu dibayar kerajaan sekiranya kadar tol tidak dinaikkan.

Beliau juga meminta Kementerian Kerja Raya memberi akses umum kepada semua kajian aliran trafik yang dibuat sebagai bukti bahawa lebuh raya terbabit boleh mengurangkan kesesakan trafik di kawasan terlibat.

Tegas Ong, projek lebuh raya seperti yang dicadangkan akan memberi impak jangka panjang kepada landskap, cara kehidupan dan kadar pembangunan di kawasan terlibat,.

Katanya, proses meluluskan projek itu memerlukan ketelusan dari segi maklumat dan keterbukaan dari segi perbincangan umum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.