Parti tempatan kuat, bersatu akan beri Sabah kelebihan, kata penganalisis

Parti tempatan kuat, bersatu akan beri Sabah kelebihan, kata penganalisis

Tony Paridi Bagang berkata, parti seperti itu akan dapat menekan Putrajaya memberi lebih banyak peruntukan dan pembangunan, seperti yang dilakukan Gabungan Parti Sarawak.

Pilihan raya negeri Sabah pada 2020 menyaksikan kerajaan baharu dibentuk oleh GRS yang termasuk parti nasional dari Semenanjung bahagian Sabahnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah parti tempatan kuat dan bersatu yang mendapat sokongan rakyat Sabah akan memberikan negeri itu kuasa tawar-menawar lebih besar dengan Putrajaya, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah kanan UiTM Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, parti seperti itu akan dapat menekan kerajaan persekutuan memberi lebih banyak peruntukan dan pembangunan, seperti yang dilakukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Sarawak.

Parti tempatan mesti mengutamakan kepentingan rakyat Sabah, jika mereka mendapat sokongan pengundi kerana ramai yang belajar daripada pengalaman untuk “tidak memberi sokongan mereka sewenang-wenangnya” selepas pelbagai perubahan kerajaan sejak pilihan raya umum 2018.

Bagang menggesa tindakan menyalahkan kurang pembangunan di Sabah dihentikan.

Tony Paridi Bagang.

“Kerajaan sedia ada perlu mengotakan janjinya, bukan sekadar berpura-pura mengambil berat,” katanya sambil menambah parti pembangkang tidak boleh menentang demi kepentingan politik, tetapi harus menyumbang secara konstruktif.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pengalaman lampau menunjukkan tidak penting parti mana yang mentadbir negeri itu, sama ada parti tempatan atau parti nasional yang berpangkalan di Semenanjung.

Katanya, Sabah pernah ditadbir parti tempatan dan parti nasional, tetapi tiada pencapaian signifikan dari segi pembangunan dan pengembalian hak Sabah diperolehi.

Oh Ei Sun.

“Semua parti menekankan kepentingan parti mereka dan kadangkala, lebih khusus lagi, kepentingan pemimpin mereka,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, seorang pemimpin Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, penguasaan Sabah oleh parti bukan tempatan menghalang usaha negeri di Malaysia Timur bekerjasama dalam hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dengan berkata, parti bukan tempatan sebaliknya memberi kelebihan dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah.

Lee Kok Tiung.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, paling penting untuk Sabah dan Sarawak sekarang ialah bersatu supaya suara dan tuntutan mereka didengari.

Dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan memerlukan kerusi Parlimen di Sabah serta Sarawak untuk membentuk kerajaan persekutuan berikutnya, beliau berkata, ini memberikan dua negeri itu kuasa tawar-menawar lebih besar.

Melihatkan cara GPS menjadi penentu selepas kejatuhan kerajaan PH, katanya, jika parti di Sabah dan Sarawak bersatu, tuntutan mereka perlu dipenuhi Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.